Bapa nasihat Mohd Zaidi jangan lupa diri

Aziz (dua dari kiri) bersama menantu dan cucu menemani Mohd Zaidi yang mengadakan lawatan ke Pasar Awam Slim River hari ini.
Aziz (dua dari kiri) bersama menantu dan cucu menemani Mohd Zaidi yang mengadakan lawatan ke Pasar Awam Slim River hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Jangan lupa diri dan tunaikan hak rakyat. Itu antara amanat diberikan bapa kepada wakil rakyat baharu, Mohd Zaidi Aziz, 43.

Aziz Nordin, 79, berkata, kemenangan yang diperoleh anaknya, Mohd Zaidi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam adalah amanah besar yang perlu dijalankan dengan sebaiknya.

Menurutnya, dalam hal itu, kebajikan rakyat terutama mereka yang dalam kesusahan harus dijadikan keutamaan.

"Kami dulu pun asalnya orang susah, saya sendiri kerja menoreh dan berkebun untuk sara keluarga, jadi dia kena ingatlah perkara itu.

"Jangan bila dah jadi YB (Yang Berhormat) dia lupa diri, janji-janji yang dah diberi kepada rakyat kena tunaikan, itu tanggungjawab," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Aziz turut melahirkan rasa syukur atas penerimaan pengundi yang memilih anaknya sebagai wakil rakyat baharu di DUN Slim.

Aziz
Aziz

Artikel Berkaitan:

Katanya, sepanjang kempen berlangsung, Mohd Zaidi yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu tidak pernah lupa untuk meminta restu dan doa daripadanya.

"Saya tak pernah ikut kempen dia, cuma tengok di televisyen dan surat khabar sahaja.

"Memang nampak dia dan jenteranya bekerja keras, saya tengok badannya pun dah susut, berat turun dekat sembilan kilogram," katanya dengan nada seloroh.

Terdahulu, Aziz menemani Mohd Zaidi melawat Pasar Awam Slim River di sini bertemu dengan peniaga dan penduduk.

Hadir sama, isteri Mohd Zaidi, Juliana Sarip, 43, dan anak bongsu, Mariyam Tihani, 5.