X

Kindly register in order to view this article
!

'Muhyiddin berhentilah cari sokongan'

Nur Jazlan
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menerima kenyataan bahawa partinya dan Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam keadaan yang rapuh.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Muhyiddin yang merupakan Perdana Menteri dilihat sibuk membuat rundingan supaya parti yang dipimpin dan PN terus kekal mendapat mandat.

"Berhentilah ke sana ke sini dapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen terutamanya sebelum pembentangan bajet Oktober depan. Macam-macam cadangan supaya ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang memberi sokongan kepada kerajaan yang dipimpin ketika pembentangan bajet nanti.

"Saya nak tanya, sampai bila Muhyiddin nak ke sana ke sini dan berapa lama dia dapat bertahan dalam sebuah kerajaan yang tak stabil hari ini?" katanya dalam satu kenyataan.

Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, dengan mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin, kerajaan lebih stabil dapat ditubuhkan sekali gus menyelesaikan kemelut sokongan kerajaan yang ada kini.

"Muhyiddin patut membuka mindanya dan meneliti cadangan daripada Presiden UMNO serta Pas yang meminta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

"Dengan kekuatan Muafakat Nasional (MN) dan PN ketika ini saya percaya kita boleh menang dengan majoriti lebih kukuh.

"Bila kerajaan baharu yang lebih stabil dapat didirikan selepas pilihan raya nanti, banyak kemelut politik mampu diselesaikan. Saya percaya Muhyiddin faham perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan juga bersetuju dengan cadangan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah supaya semua ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan PN meletakkan jawatan selepas Bersatu membuka kemasukan kepada ahli bukan Melayu ke dalam parti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li gesa menteri UMNO undur segera dari Kabinet

Bersatu sedia pinda Perlembagaan benarkan penyertaan kaum lain

Beliau berkata, Bersatu sudah melanggar prinsip asas penubuhan MN iaitu muafakat parti Melayu-Islam, jadi menteri atau timbalan menteri daripada UMNO perlu letak jawatan dan keluar daripada kerajaan PN.

"Cadangan penubuhan sayap bukan Melayu dalam Bersatu bertentangan sama sekali dengan konsep dan keharmonian MN, jadi buat apa ahli Parlimen UMNO nak duduk lagi dalam kerajaan PN?

"Pemimpin-pemimpin daripada UMNO ini kena ingat kedudukan dan masa depan mereka ditentukan oleh ahli akar umbi yang sebenarnya marah dengan permainan politik Bersatu," katanya.

Jelas Nur Jazlan, jika sekarang ini Bersatu boleh mengubah haluan dan membuat beberapa langkah berlainan selepas seminggu bersetuju menyertai MN, apakah jaminan yang mereka tidak akan buat u-turn lagi selepas ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!