Tinggalkan kerjaya di luar negara, buka syarikat IT di tanah air

Md Saifudaullah menunjukkan aplikasi Hungga Mart yang dibangunkan bersama dua lagi rakan, Zunaidi dan Mohd Tajul Asri
Md Saifudaullah menunjukkan aplikasi Hungga Mart yang dibangunkan bersama dua lagi rakan, Zunaidi dan Mohd Tajul Asri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang pembangun perisian memilih untuk meninggalkan kerjaya di luar negara yang menawarkan gaji lumayan sehingga mencecah RM30,000 semata-mata untuk membangunkan industri teknologi maklumat (IT) di tanah air.

Md Saifudaullah Bahrudin, 31, berkata, dia mula bekerja pada 2013 di sebuah syarikat di Petaling Jaya, Selangor dan telah berhenti pada 2017 sebelum menjadi pembangun perisian bebas di Filipina akhir 2017.

“Akhir 2017 saya ada menerima tawaran di Chile sehingga pertengahan 2019. Ketika itu gaji yang ditawarkan memang agak besar dan secara kasarnya lebih RM30,000.

“Bagaimanapun, saya memutuskan untuk balik ke Malaysia bagi membuka syarikat IT di tanah kelahiran saya di Terengganu. Niat saya ingin menabur bakti dan membangunkan industri IT di Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Md Saifudaullah yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Hungga Mart berkata, beliau dan dua lagi rakannya, Zunaidi Abuas, 35, dan Mohd Tajul Asri Rosli, 29, sepakat untuk menubuhkan Syarikat Codexpert pada pertengahan 2019 dan menubuhkan aplikasi pesanan dan penghantaran Hungga Mart pada Februari 2020.

Md Saifudaullah (tengah) bersama dua rakan niaganya, Zunaidi (kanan) dan Mohd Tajul Asri.
Md Saifudaullah (tengah) bersama dua rakan niaganya, Zunaidi (kanan) dan Mohd Tajul Asri.

“Aplikasi yang dibangunkan itu tidak terhad kepada pesanan dan penghantaran makanan sahaja malah merangkumi barangan keperluan harian, pakaian, aksesori, ubat-ubatan dan sebagainya.

“Saya lihat kebanyakan fungsi aplikasi yang dibangunkan buat masa ini agak terhad kepada pesanan dan penghantaran makanan, jadi kami cuba wujudkan kelainan dengan mempelbagaikan lagi pesanan yang boleh dibuat bagi memberi kemudahan kepada pengguna serta mewujudkan peluang kepada peniaga-peniaga dalam pelbagai sektor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas pelajar kejuruteraan elektronik (instrumentasi) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu berkata, aplikasi Hungga Mart yang tertumpu di bandar Kuala Terengganu berjaya mengumpulkan lebih 200 peniaga tempatan dan 10,000 pengguna sejak dilancarkan Mac lalu.

“Aplikasi pesanan dan penghantaran ini diakui dapat memudahkan pengguna yang ingin membeli barangan keperluan harian serta makanan tanpa perlu berkunjung ke premis perniagaan.

“Tambahan pula negara kini masih belum bebas sepenuhnyan daripada pandemik koronavirus (Covid-19), jadi orang ramai digalakkan membuat pembelian menerusi aplikasi-apikasi yang tersedia bagi menjaga keselamatan diri dan mengelakkan jangkitan virus,” katanya.