Batik dan perjalanan kreatif Malaysia

Semua pihak perlu memainkan peranan membantu menaikkan industri batik Malaysia sehingga ke persada antarabangsa.
Semua pihak perlu memainkan peranan membantu menaikkan industri batik Malaysia sehingga ke persada antarabangsa.
A
A
A

PETANG Jumaat pada pertengahan Ogos lalu, sebuah bas persiaran tiba di Kompleks Noor Arfa Batik, Chendering, Kuala Terengganu. “Depa ni orang Kedah,” penulis memaklumkan rakan dari Bukit Bayroute, Kuantan.

Warga Bukit Bayroute, daripada golongan wartawan, segera bertanyakan lelaki pertama yang turun dari bas. Ketika itu, belum dengar percakapannya. “Dari mana?” “Kedah!” Dari jauh boleh diduga ragam lelaki Kedah. Penat macam mana sekalipun, masih cuba menyebut sesuatu yang melucukan.

Noor Hijerah Hanafiah ialah orang Langgar, Kedah. Beliau ialah isteri Wan Mohd Ariffin Wan Long, pengasas jenama terkenal batik dari Terengganu itu.

Pada tahun 1984, anak Kedah itu, pelajar Institut Teknologi Mara, menjalani latihan amali di premis canting batik Noor Arfa di Terengganu. Selang tiga tahun, setelah tamat pengajian, dia memulakan bengkel batik di Langgar bersama rakan dari Kuala Lumpur.

Tahun 1986-1987 negara dilanda kemelut ekonomi. Pada musim sebegini akan berlaku ledakan kreativiti diterajui anak muda. Pengusaha kecil-kecilan batik di Langgar sudah lama mengajar lukisan di sekolah. Batik ditinggalkan. Ada pasaran. Keluarga merasakan beliau perlu bergaji tetap.

Dulu kemeja batik rata-rata sutera dan dilihat eksklusif, berprestij. Wartawan jarang pakai batik.

Kini pada era 5G yang pasti tidak akan direncatkan dengan tamparan Covid-19, ada anak muda dikhuatiri membelakangkan cinta pada tanah air dengan memperagakan kemeja batik Indonesia. Kita yang lebih dewasa pun ada beli dan pakai batik Indonesia. Salahkah? Mudah bagi kita dari luar industri batik untuk buat telahan dan komentar. Benar, kemeja batik Indonesia beri satu idea kepada industri tempatan bahawa kita boleh buat yang lebih baik.

Kemeja cotton batik Malaysia dijual dalam lingkungan RM60 hingga RM100 sepasang. Ia cantik, bermotifkan flora. Cakap-cakap batik Malaysia mahal sewajarnya disifatkan gosip. Kita tunggu fakta.

Artikel Berkaitan:

Keceriaan sering tergugat. Kini timbul pula penghasilan batik tiruan. Harga runtuh. Tiga helai kemeja batik pada harga RM100! Dulu yang diseludup masuk melalui Thailand adalah beras dan lembu. Sekarang antara yang diseludup ialah batik tiruan.

Kisah kebanjiran batik tiruan menjadi tamparan sulung pada individu luar industri batik seperti penulis. Kita yang merasakan, nyata tanpa ilmu, bahawa industri kreatif ini pada zaman 5G dan Covid-19 mampu menjana ekonomi baharu setidak-tidaknya dalam segmen batik.

Kita berpendapat sekiranya Malaysia berjaya dalam industri kreatif seperti batik, pasti datang gelombang keyakinan menjayakan segala macam inovasi. Batik adalah ujian getir.

Bayangkan. Cantik bergaya lelaki berpakaian kemeja batik Malaysia saban hari. Sebagai perbandingan, kemeja ilham barat agak hambar. Sama ada pakai baju kemeja putih, biru atau berpetak. Seolah-olah tiada identiti.

No Image Caption

Motif

Apakah ada kaitan antara penampilan segak, produktiviti dan integriti? Kanak-kanak yang mula dibelikan pakaian bermotif batik harus dididik bahawa ini merupakan produk warisan berasaskan kepintaran sejati. Industri batik negara sentiasa mencari teknik penghasilan batik terkini. Nama-nama besar seperti Siti Zubaidah mewarnai warisan ini. Kita selitkan pesanan: pemakai batik Malaysia jangan sesekali mengaibkan anak bangsa dengan terjun ke kancah rasuah dan penipuan. Ingat penat jerih pembuat batik.

Ekonomi batik adalah suatu usaha murni, tulus bermula daripada rekaan dengan meregangkan kain di pemidang, mencanting, mewarna, mematikan warna, akhirnya rebus. Ada lagi teknik lain seperti batik blok, ikat celup dan batik digital.

Gambarkan satu masa nanti bila ahli Parlimen dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen dengan berpakaian batik Malaysia. Agaknya nanti akan ada kesan pada mutu dan nada perbahasan.

Juga, bila rakyat berbilang kaum memuliakan batik, pasti ia mengangkat darjat batik sebagai platform penyatuan.

Ada satu lagi cerita. Orang muda yang membeli batik di atas talian tidak semuanya berbangga dengan produk yang diterima. Mereka mahukan kualiti. Juga, dibandingkan dengan kemelut ekonomi 1986-1987, semakin ramai ibu bapa yang memberi ruang kepada anak-anak untuk memilih profesion atau bisnes.

Kesimpulan setakat ini – bukankah kita berada di suatu fasa pengenalan semula batik yang akhirnya akan menguntungkan industri tempatan, iaitu bila datang gerakan mendahului kualiti dan ilmu?Kita balik ke tahun 1986. Hashim Mahat, lulusan ITM (nama UiTM ketika itu) berasal dari Melaka, menerima tawaran sebagai textile designer di Permint Sutera Semai. Anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ikhtisas Terengganu itu mengusahakan penternakan ulat sutera dengan matlamat memasarkan kain sutera di pasaran antarabangsa. Usaha itu menyuntik semangat baharu. Hashim dan isteri, Wan Noordiran Wan Long, kemudiannya mengasaskan Seemnorr Batik.

Kini anak-anak Hashim-Noordiran dan Wan Ariffin-Noor Hijerah mula mewarisi perniagaan. Sering juga penulis berbual dengan Wan Hafiz, anak Wan Ariffin-Noor Hijerah. Katanya: “Kita perlu meningkatkan ilmu printing bagi bersaing dengan barang import.”

Tidak tersasar jika kita kata ada keluarga batik di Kelantan dan Terengganu turut menceburi bidang lain seperti hartanah dan perhotelan.

Pasti karyawan kraf tangan Malaysia yang gigih berusaha memajukan industri batik sudah biasa dengan segala macam input. Menarik juga kita dengar pendapat penggiat industri lain. Kata seorang arkitek, Mohd Kamaludin Adam: “Masalahnya kita pakai batik pada waktu tertentu sahaja.” Seorang pelukis muda pula merasakan perlu diperbanyakkan perbincangan di semua peringkat. Mereka tertarik dengan Piala Seri Endon yang khabarnya mengekalkan prestij batik.

Pandangan

Kamaludin adalah antara orang yang merasakan perlu ada visibility, diversity dan flexibility yakni motif dan kegunaan batik yang berbagai-bagai daripada tengkolok, kain semutar hinggalah samping. Ada juga masalah baharu. Kini anak gadis tempatan kurang mahir cara memakai batik sarung.

Di Johor Bahru minggu lepas, penulis berbual dengan pelajar-pelajar Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima yang sedang memikirkan karier pilihan mereka. Apa hebatnya kewartawanan? Ia bukan sekadar satu pekerjaan. Menjiwai kewartawanan bermakna beralih menjadi penggiat dan perlu berdepan dengan kekhilafan.

Penulis sebut dalam ucapan bahawa kenapa perlu kita khuatir tentang batik Indonesia. Ramai golongan pertengahan di Indonesia yang mampu berbelanja besar. Penulis merasakan bila batik Malaysia meningkat satu lagi anak tangga, pasti ada rakyat Indonesia yang ingin membeli batik Malaysia pula. Rata-rata mereka yang ditemu bual penulis menolak pandangan ini. Ingin juga kita dengar rasa hati orang Indonesia tentang batik Malaysia.

* Rashid Yusof ialah mantan Pengarang Kumpulan akhbar The New Straits Times