X

Kindly register in order to view this article
!

Terkawal tapi ekonomi merudum

Muhyiddin - Foto fail Bernama
A
A
ATAS usaha pihak kerajaan dan kerjasama yang ditunjukkan rakyat jelata, situasi penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara kita berjaya dikawal dengan baik.

Namun kita tetap tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian pada hari ini. Usaha pencegahan seperti mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat awam perlu sentiasa dilakukan.

Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan selama empat bulan lagi iaitu sehingga 31 Disember depan.

Ini membuktikan kerajaan masih bersikap berhati-hati dan tidak ingin membiarkan rakyat kembali terdedah kepada ancaman virus yang boleh membawa maut itu.

Walaupun kita semua mampu menyekat penularan Covid-19, namun jangan lupa keadaan ekonomi di negara kita masih dalam keadaan kurang memberangsangkan. Begitu juga tahap penggangguran, jumlahnya semakin hari semakin bertambah.

Menurut lidah pengarang Sin Chew Daily, seperti yang dilaporkan, ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini, kadar terendah sejak suku keempat 1998 iaitu 11.2 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi kurang memberangsangkan itu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga PKP Bersyarat (PKPB) yang berlangsung dalam tiga fasa bagi membendung Covid-19.

Kajian

“Ketika tempoh sekatan, ia menjejaskan beberapa sektor seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Semua sektor merekodkan pertumbuhan negatif pada suku dikaji kecuali pertanian untuk tumbuh 1.0 peratus,” katanya.

Memandangan PKPP dilanjutkan sebulan lagi, ini bermakna beberapa sektor perniagaan yang sehingga hari ini masih belum dibenarkan beroperasi akan terus ditutup dan ini pastinya akan mengecewakan para pengusahanya.

“Pihak kerajaan sepatutnya mengadakan kajian secara menyeluruh bagi memastikan Covid-19 dalam situasi terkawal dan pada masa yang sama menjamin keadaan ekonomi dapat dipulihkan dalam kadar yang segera,” tulis akhbar itu.

Menurut akhbar itu lagi, melihat kepada perkembangan sejak sebulan yang lalu, sesungguhnya adalah sukar bagi kita untuk mencapai angka sifar kes baharu dalam tempoh terdekat ini.

“Walaupun jumlah kes baharu telah menurun dengan banyak sejak akhir-akhir ini berbanding dengan dua bulan yang lalu, tetapi virus Covid-19 sebenarnya masih berada di sekeliling kita.

“Itulah yang menyebabkan kerajaan kita cukup serius walaupun kes baharu telah menurun. Tindakan pencegahan adalah cara yang paling berkesan buat masa ini.

“Cuma apa yang merisaukan ialah beberapa sektor seperti pelancongan dan penerbangan yang mampu menjana pendapatan lumayan kepada negara kini terjejas teruk.

“Pelancong asing yang masih disekat daripada memasuki ke dalam negara kita akan terus menyaksikan ekonomi negara kita dalam keadaan kurang bermaya,” jelas akhbar Cina itu.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!