Kemenangan indah Muafakat Nasional di DUN Slim

Kemenangan calon BN, Mohd Zaidi bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kerusi DUN Slim milik tradisi parti itu sejak tahun 2004 lagi. -Foto Bernama
Kemenangan calon BN, Mohd Zaidi bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kerusi DUN Slim milik tradisi parti itu sejak tahun 2004 lagi. -Foto Bernama
A
A
A

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kerusi itu milik tradisi mereka sejak tahun 2004. BN telah menguasai kerusi Slim selama empat penggal.

Namun menariknya pada PRK kali ini, BN mendapat pertambahan undi mengatasi jumlah undi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Pada PRU14, BN hanya mendapat sebanyak 8,327 dalam pertembungan tiga penjuru manakala Mohd Amran Ibrahim (PKR) memperoleh 6,144 undi dan Zulfadli Zainal (Pas) meraih 4,103 undi.

Pertambahan undi tersebut, sebanyak 13,060 undi semalam, adalah hasil penyatuan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Muafakat Nasional memandangkan pada PRU lepas ketiga-tiga parti itu bertembung antara satu sama lain dengan majoriti kemenangan diperoleh Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib hanyalah 2,183.

Formula Muafakat Nasional dilihat sebagai faktor utama dalam memberikan kemenangan kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz malah turut menambah jumlah undi yang dimenangi BN pada PRU14 lalu.

Perkara itu turut diakui Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang melihat Muafakat Nasional sebagai satu formula terbaik untuk memberi kemenangan kepada parti yang bertanding selain mengelak berlakunya pertembungan lebih daripada dua penjuru.

Menurutnya, formula kerjasama dalam PRK DUN Slim pasti akan diguna pakai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan PRU15 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Kita nampak keserasian dan kesepaduan dalam kalangan tiga parti ini walaupun Bersatu baru sahaja menyertai Muafakat Nasional namun mereka tidak kekok untuk bersama-sama kita berkempen memenangkan calon.

“Apa yang jelas, penyatuan ini memperlihatkan kekuatan dan sekali gus ia menggerunkan musuh. Inilah formula terbaik setakat ini yang akan kita guna pakai dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya kepada Sinar Ahad.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan Mohd Zaidi (tengah) pada PRK DUN Slim malam tadi dirai pimpinan tertinggi BN dan UMNO diketuai Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kemenangan Mohd Zaidi (tengah) pada PRK DUN Slim malam tadi dirai pimpinan tertinggi BN dan UMNO diketuai Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi UMNO pula, sudah tentulah mereka paling gembira dengan kemenangan bergaya ini setelah kempen secara besar-besaran selama 14 hari di DUN Slim.

Kehadiran pemimpin tertinggi daripada UMNO, Pas dan Bersatu yang bertali arus membantu kempen di Slim dilihat berbaloi dalam memastikan Mohd Zaidi dapat menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham Mohd Khusairi.

Dalam pada itu, tidak dapat disangkal keserasian jentera antara UMNO dan Pas memperlihatkan kematangan akar umbi yang boleh saling menerima antara satu sama lain namun Bersatu sebagai orang baharu dilihat agak terasing untuk bersama UMNO dan Pas.

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, untuk mendapatkan keserasian tersebut ia perlu mengambil masa kerana UMNO dan Pas memerlukan masa lebih setahun sebelum Piagam Muafakat Nasional dimeterai.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan gerak kerja kempen khususnya jentera Pemuda dan PRK DUN Slim ini merupakan medan pemanas badan sebelum PRU15 nanti. Yang paling penting kita perlu mencetuskan keserasian ini.

“Dalam konteks Bersatu, sudah tentu mereka memerlukan masa kerana kita tidak boleh memaksa dalam mewujudkan keharmonian dan kesepakatan itu. Ia akan datang secara semula jadi apabila wujud kerjasama seperti yang disaksikan dalam PRK Slim,” katanya.

Bagi calon-calon Bebas yang bertanding iaitu Amir Khusyari Mohamad Tanusi dan Dr S Santharasekaran pula, kehadiran mereka berdua hanyalah sebagai ujian kepada parti baharu dan gabungan baharu untuk mengetahui sejauh mana penerimaan rakyat terhadap mereka.

Ismail Sabri meninjau proses pengundian pada PRK DUN Slim di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki. -Foto Bernama
Ismail Sabri meninjau proses pengundian pada PRK DUN Slim di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki. -Foto Bernama

Penerimaan

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kini dalam proses pendaftaran menjadikan PRK DUN Slim sebagai medan ujian sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti baharu itu selain melihat bagaimana keikhlasan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menerima kewujudan mereka. Begitu juga dengan Bersatu yang mengambil keputusan menyertai Muafakat Nasional ketika berlangsungnya PRK DUN Slim nyata menimbulkan kesangsian kepada UMNO.

Mengambil contoh Amir Khusyairi, sungguhpun dia dibantu oleh parti-parti dalam PH, jumlah undi yang dimenanginya tidak dapat mengatasi undi yang diperoleh Bersatu menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU14 lalu.

Sepertimana BN, beberapa pemimpin utama PH turut turun ke lapangan membantu calon Bebas yang menggunakan lambang Pokok itu malah kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen turut mencuri tumpuan rakyat DUN Slim.

Penganalisis Politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan terdapat parti dalam PH yang tidak begitu bersungguh-sungguh membantu calon Bebas itu walaupun Amir Khusyairi mampu memberi saingan.

Menurutnya, calon yang ditampilkan sebagai calon Bebas oleh Pejuang itu mempunyai latar belakang yang baik malah memiliki personaliti menarik untuk dipertimbangkan pengundi di situ.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membantu pengundi di SK Kuala Slim yang selesai membuang undi.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membantu pengundi di SK Kuala Slim yang selesai membuang undi.

“Kita tidak nampak kesungguhan mereka. Pada hari mengundi, tiada pemimpin PH yang hadir melawat pusat-pusat mengundi. Malah ketika kempen pun kita tengok tiada kehadiran pemimpin besar daripada DAP dan PKR seperti Lim Guan Eng, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecuali Amanah di mana Mohamad Sabu datang berkempen.

“Tidak seperti BN yang mana hampir kesemua pemimpin tertinggi dalam Muafakat Nasional turun berkempen di Slim sehingga tempoh kempen berakhir kelmarin,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, PRK DUN Slim sangat penting bagi BN untuk membina momentum dalam memastikan kemenangan majoriti lebih besar berbanding PRK terdahulu.

Menurutnya, PRK itu juga harus menjadi pemangkin kepada parti-parti politik untuk mencari jalan bagaimana kerjasama politik dapat membentuk kepercayaan lebih tinggi sesama ahli gabungan parti masing-masing.

Pentas ujian parti-parti politik sepanjang PRK DUN Slim sudah pun melabuhkan tirainya dan mereka selepas ini akan melangkah ke medan perang awal di Sabah sebelum terjebak dalam peperangan sebenar pada PRU15 yang ditunggu-tunggu oleh semua orang.