Kanak-kanak maut terkena renjatan elektrik di padang bola

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di padang bola di Jalan Impian Emas, 14, Taman Impian Emas di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian pada kira-kira 2.45 petang itu, Musyrif Hakimi Musaffendy dipercayai tidak memakai kasut ketika berada di padang tersebut dan kawasan mangsa berdiri ketika itu basah berikutan hujan.

"Pihak polis menerima panggilan telefon pada kira-kira 3 petang dengan dimaklumkan bahawa terdapat seorang kanak-kanak lelaki terkena renjatan elektrik.

"Difahamkan ketika kejadian, mangsa sempat mengadu kepada seorang rakannya bahawa dia berasa panas dan kemudiannya rebah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebelum itu, terdapat aktiviti bulan kemerdekaan dan kibaran Jalur Gemilang anjuran sebuah agensi kerajaan di padang bola tersebut yang bermula dari 8.30 pagi hingga 4 petang.

Katanya jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama

Artikel Berkaitan: