PRN Sabah: Keputusan rakyat tentukan hala tuju pembangunan

Muhyiddin menerima cendera kenangan daripada Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor (kanan) pada majlis perjumpaan bersama Pejawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah. - Foto Bernama
Muhyiddin menerima cendera kenangan daripada Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor (kanan) pada majlis perjumpaan bersama Pejawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini akan menentukan hala tuju pembangunan negeri itu pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, namun dalam masa sama beliau tidak mahu Sabah ketinggalan dan berharap rakyat membuat pilihan bijak serta keputusan terbaik dalam pilihan raya itu.

“Sudah pasti sebagai Perdana Menteri yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN), saya tidak mahu Sabah tertinggal di belakang kerana Sabah menjadi komponen penting negara kita. Apabila pilihan raya hampir tiba ini, saya nak saudara fikir baik-baik.

"Saya di sini sebagai perdana menteri bertanggungjawab supaya urusan-urusan membina negara Malaysia menjadi sebuah negara maju, makmur dan berjaya (yang juga) menjadi tanggungjawab pimpinan di peringkat negeri.

“Sebab itu mungkin baik juga ada pilihan raya. Kita betulkan sedikit apa-apa keputusan (pilihan raya) dahulu sudah selesai, (pilihan raya) akan datang ada lagi keputusan baru. Apa keputusan yang rakyat Sabah buat nanti akan menentukan hala tuju Sabah untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin merangkap Setiausaha Agung Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya sehaluan dalam membangunkan Sabah ke arah yang lebih mampan selain memastikan semua inisiatif untuk rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Sebaiknya, kerajaan Persekutuan dan negeri mesti sama sehati dan sejiwa. Saya tahu Sabah ada sumber dan sebuah negeri kaya raya. Banyak khazanah belum dibugar dan dibangunkan. Sabah sebuah negeri besar.

Artikel Berkaitan:

“Saya sedar masih banyak (pembangunan) harus dilakukan di Sabah, kalau hanya diserahkan kepada kerajaan negeri sahaja tidak mungkin boleh selesai, kalau diserahkan kepada Persekutuan sahaja pun tak mungkin boleh selesai.

"Kalau diserahkan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan bersama-sama berjuang mungkin banyak masalah boleh selesai,” katanya.

Menurutnya, dalam situasi negara berdepan cabaran ekonomi berikutan koronavirus (Covid-19), adalah penting urusan membantu membela nasib rakyat terjejas akibat pandemik itu dilakukan secara bersama-sama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. - Bernama