X

Kindly register in order to view this article
!

Patriotisme yang tergendala

A
A

31 Ogos adalah tanggal penting dalam sejarah negara. Pada tarikh itulah sebahagian Malaysia iaitu Semenanjung Tanah Melayu telah mendapat kemerdekaan daripada kerajaan British. Sebahagian Malaysia lagi, Sabah dan Sarawak (serta Singapura) diberi kemerdekaan pada 16 September 1963.Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perebutan sengit pengaruh politik telah menonjolkan hipokrasi pemimpin yang cuba menjarakkan Semenanjung dengan Borneo.

Sambutan hari kemerde-kaan dipolemik dan dipolitikkan sebagai agenda Malaya sehingga memaksa kerajaan melakukan political correctness yang kabur dengan menukar sambutan hari kemerdekaan kepada Hari Kebangsaan.

Di Amerika Syarikat, bukan semua negerinya merdeka serentak pada tarikh 4 Julai 1776. Pada tarikh tersebut, hanya 13 buah negeri yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada empayar British. Hari ini AS mempunyai sebanyak 50 buah negeri, namun tetap menyambut 4 Julai sebagai hari kemerdekaan mereka.

Demikianlah kita berbahagi-bahagi patriotisme akibat politik kebencian dan hasut-menghasut. Hakikatnya Malaysia, sama ada Semenanjung Tanah Melayu mahupun Sabah dan Sarawak, mempunyai senarai panjang pejuang kemerdekaan.

Malah, kemerdekaan awal Semenanjung Tanah Melayu telah membuka kemerdekaan untuk Singapura, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Brunei yang memilih jalan lain hanya merdeka pada tahun 1984.

Sambutan Hari Kebang-saan dan kemerdekaan yang ke-63 tahun bukan sahaja berhadapan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) tetapi juga penghinaan Filipina.

Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina (JHELNF) telah meluluskan cadangan cetakan peta Filipina melibatkan kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) termasuk Sabah.

Tuntutan Sabah

Walaupun keputusan itu belum dibentangkan dalam Dewan Perwakilan Filipina, namun hasrat ke arah itu jelas.

Apa yang mengecewakan ialah reaksi Malaysia agak terhad kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa orang ahli Parlimen.

Di manakah wajah badan-badan bukan kerajaan dan sayap-sayap pemuda parti politik? Kenyataan JHELNF bukanlah satu-satunya kenyataan kontroversi Filipina mengenai Sabah yang perlu kita biarkan hanya Wisma Putra dan beberapa pemimpin politik untuk bereaksi.

Pada Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr telah mencetuskan kontroversi dengan menyatakan Sabah is not in Malaysia.

Ia menimbulkan perbala-han Twitter antara Menteri Luar Malaysia dan Setiausaha Luar Filipina. Hishammuddin menjawab dengan diplomasiL: “Ini kenyataan tidak bertanggungjawab yang menjejaskan hubungan dua hala.”

Locsin tanpa mahu mengalah membalas: “Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia, jika anda mahu berurusan dengan Filipina.”

Hishammuddin kemudiannya menegaskan dalam kenyataan media dan sidang Dewan Rakyat bahawa Sabah selamanya akan menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Jika 10 tahun lalu, kenyataan Teodoro itu pasti akan mendapat reaksi keras daripada anak-anak muda parti politik dan NGO, namun hari ini isu-isu seperti itu dipandang sepi sahaja.

Tiada himpunan membantah (dalam normal baharu), tiada nota bantahan awam, tiada kecaman keras.

Pejuang-pejuang politik nasionalis sibuk bercakaran soal kuasa dan kerusi sehingga melupakan suara untuk negara.

Daripada perubahan sambutan hari merdeka kepada Hari Kebangsaan sehinggalah kepada ketidakpedulian isu antarabangsa, politik membenci lawan itu telah menggendalakan semangat patriotisme rakyat.

Semangat merdeka tampaknya semakin tidak bermakna kepada sebahagian kita dan beransur-ansur menuju muzium nostalgia.

*Ab Jalil Backer merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!