Tengkaran beri pencerahan

A
A
A

BELANJAWAN tahunan kerajaan mengandungi beberapa bahagian utama seperti hasil atau pendapatan, perbelanjaan dan pemerolehan.

Hasil diperoleh melalui cukai yang dibelanjakan untuk mengurus dan membangunkan negara. Dalam tugas mengurus dan membangunkan Malaysia, kerajaan membuat pembelian yang disebut pemerolehan atau dalam bahasa Inggeris, procument.

Hal pemerolehan itulah yang menjadi tengkaran atau kontroversi di Dewan Rakyat antara pihak kerajaan yang diwakili oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pembangkang.

Ia bermula apabila jawapan Tengku Zafrul mengenai pemberian kontrak melalui rundingan terus memberi gambaran bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan janji pilihan raya untuk melaksanakan tender terbuka.

Sama ada disengajakan atau akibat kurang pengalaman, jawapan beliau itu seolah-olah menuduh kerajaan PH memberikan sebanyak 101 kontrak rundingan terus bernilai RM6.61 bilion dalam masa 22 bulan pemerintahannya.

Akibatnya, bekas kerajaan PH yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi digulingkan dalam rampasan kuasa oleh Perikatan Nasional (PN) pada Februari lalu menjadi bahan kritikan penyokong kerajaan PN.

Pecacai Parlimen PN, khususnya yang mewakili Barisan Nasional (BN), mengambil sepenuh kesempatan daripada jawapan Tengku Zafrul itu untuk membelasah PH, kononnya tidak menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya.

Namun, hujah Tengku Zafrul segera dipatahkan oleh bekas Menteri Kewangan PH, Lim Guan Eng dan yang akhirnya mendapat malu adalah BN yang tewas pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

Apabila dibuat perhitungan terperinci, didapati bahawa hampir semua pemerolehan melalui rundingan terus itu adalah projek-projek zaman pemerintahan BN yang diwarisi oleh PH.

Hanya 1.4 peratus atau RM352 juta daripada RM6.61 bilion itu diberikan oleh kerajaan PH. Baki adalah projek-projek rundingan terus kerajaan BN.

Sebaik sahaja mengambil alih pada Mei 2018, kerajaan PH membekukan banyak projek mewah dan projek yang meragukan peninggalan kerajaan BN.

Namun, selepas dikaji dan dirundingkan semula, boleh dikatakan semua projek yang terlibat diteruskan dengan potongan harga yang besar.

Tindak balas kepada pendedahan awal Tengku Zafrul itu menjadi lebih hangat apabila bekas-bekas menteri PH yang sekarang menjadi menteri PN turut mengkritik kerajaan lama mereka. Apa yang mereka tidak sedar, lupa atau cuba sembunyikan ialah mereka sendiri terlibat mengamalkan pemerolehan melalui rundingan terus.

Sama ada dulu atau sekarang, kaedah pemberian kontrak melalui rundingan terus adalah dibenarkan dalam keadaan tertentu. Ia diakui sendiri Tengku Zafrul berulang kali dalam percubaannya meredakan suasana yang beliau sendiri cetuskan.

Cuma pada zaman pemerintahan BN, khususnya ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, ia menjadi amalan biasa dan melibatkan projek-projek raksasa berharga berpuluh bilion ringgit.

Kesimpulan daripada tengkaran itu adalah hakikat bahawa pengurusan kewangan negara menjadi bertambah baik di bawah pemerintahan singkat PH. Ia wajib diteruskan tidak kira siapa menjadi Menteri Kewangan dan parti mana yang membentuk kerajaan.

Malah, jika kita buat perbandingan, pemerolehan rundingan terus sebanyak RM6.61 bilion itu adalah lebih menguntungkan daripada perbelanjaan tambahan sebanyak RM7.2 bilion yang diluluskan pada 17 Ogos lalu bagi membiayai pembesaran Kabinet kerajaan PN.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara