Peranan sastera dalam kemerdekaan

No Image Caption
A
A
A

PADA 31 Ogos 2020, genaplah 63 tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (yang kemudian membentuk Malaysia pada 16 September 1963). Apakah hubungan antara kemerdekaan dengan sastera? Inilah antara persoalan yang sering terabai dalam pertimbangan kenegaraan.

Jika diumpamakan dengan suatu pelayaran, sastera selama lebih enam dekad ini berada dalam olengan ombak, sekejap terlambung ke udara, sekejap terasak ke dinding bahtera. Begitupun, sastera tidak pernah lenyap ditelan gelombang. Lantaran sastera ialah sari pati psikologi manusia, pakaian budaya bangsa dan teras ideologi peradaban, mana mungkin sastera akan terbunuh dalam olengan ombak.

Sesungguhnya, seluruh rakyat negara merdeka ini wajar diberi kesedaran tentang pentingnya kesusasteraan. Dalam ranah persuratan tanah air, peranan sastera dalam pemugaran semangat kebangsaan atau perjuangan menuntut kemerdekaan sudah terkesan sebelum muncul sastera bercetak.

Ishak Haji Muhammad telah menulis novel Putera Gunung Tahan pada 1937 (judul asalnya Hilang Di Mata), sebuah novel yang mengemukakan ideologi penentangan terhadap kolonial British. Menurut Ishak: “Tiap-tiap orang kulit putih yang datang ke Malaya hendak mencari wang dan keuntungan dan bukan semata-mata hendak memimpin atau menaungkan bumiputera negeri ini.” Oleh itu beliau menulis Putera Gunung Tahan sebagai ‘alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah’.

Dalam dekad 1940-an, lahir juga karya yang berlatarkan sejarah penjajahan Portugis di Melaka. Ahmad Bakhtiar menyampaikan pandangan antikolonialnya secara halus dengan menyusuri sejarah penjajahan Portugis dan seterusnya mendefinisikan identiti bangsa Melayu sebagai umat yang agung. Impiannya ini dimuatkan dalam novel ringkasnya, Panah Beracun, Keris Melaka, Korban Keris Melaka, Cantek Melaka, Darah Melaka, dan Rahsia Keris Puteh.

Selepas merdeka 1957, nasionalisme dalam karya sastera sudah berubah, bukan lagi untuk menuntut kemerdekaan tetapi untuk meneguhkan nasionalisme dan jati diri rakyat. Harun Aminurrashid telah menulis novel Panglima Awang (1958), sebuah novel fenomenal dan mendapat sambutan hangat daripada khalayak kerana kandungannya yang dianggap dapat menimbulkan kemegahan bagi bangsa Melayu.

Novel itu mengangkat watak orang Melayu sebagai pengeliling dunia yang pertama, bukannya Ferdinand Magellan sebagaimana yang dicanangkan dalam buku-buku sejarah orientalis. Oleh itu, karya tersebut memberikan kemenangan moral kepada rakyat Tanah Melayu yang sekian lama terbelenggu dalam penindasan psikologi dengan anggapan bahawa bangsa kulit putihlah yang agung, manakala peribumi ialah bangsa tanpa tamadun.

Pada tahun 1965 Arena Wati menyingkap citra watak barat yang menjadi dalang memporak-perandakan Tanah Melayu selepas merdeka dalam novel Lingkaran. Latar zaman penciptaan novel itu, iaitu sejurus selepas merdeka, menjadi asas kepada pemikirannya, yakni kuasa barat masih memperlihatkan pengaruhnya dalam pembangunan Tanah Melayu.

Artikel Berkaitan:

Arena Wati merepresentasikan watak barat yang melakukan konspirasi neoimperialisme secara negatif. Pencitraan barat sebegini bercorak wacana balas yang bertujuan memugar semangat bangsa timur untuk mengenali identiti sendiri sebagai umat merdeka.

Melalui Peraduan Novel Sempena 10 tahun Merdeka 1967 terhasillah novel Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin, 1971), Interlok (Abdullah Hussein, 1971), Meniti Buih (Alias Harun, 1971), Badan Bertuah (Ismail Salleh, 1971), Merpati Putih Terbang Lagi (Khadijah Hashim, 1972) dan Sandera (Arena Wati, 1971).

Motif pengarang novel Pulanglah Perantau ialah memunculkan identiti nasional sebagai manusia baharu selepas merdeka tanpa takut-takut lagi mempersoalkan legasi neokolonialisme. Dekad 1970-an pula melahirkan subgenre yang sesuai dengan zamannya, iaitu novel pembangunan sebagai pengisi ruang kemerdekaan.

Ini dapat dilihat dalam Kemelut (Shahnon Ahmad, 1977), Kembali Bergelut (Muhd. Mansur Abdullah, 1976), Permata-Permata Di Lumpur (Muhd Mansur Abdullah, 1978), Srengenge (Shahnon Ahmad, 1973), Saga (Abdul Talib Mohd. Hassan, 1976), Perjudian (S Othman Kelantan, 1973) dan Arca Berdiri Senja (Baharudin C.D.1978).

Dalam dekad 1980-an dan 1990-an, peranan sastera membawa citra zamannya dan sekali gus pembentuk pemikiran untuk zaman tersebut. Arena Wati yang banyak memberikan responsnya kepada barat telah menghasilkan karya yang bersifat global, yakni menyatukan wira-wira bangsa timur untuk menentang hegemoni Barat.

Misalnya, novel Bunga Dari Kuburan (1987) berlatarkan Amerika Syarikat dengan segala macam permasalahannya serta pandangan negara penjajah terhadap Asia Tenggara. Melalui Kuntum Tulip Biru (1987) pula negara Eropah cuba ‘dirosakkan’ dengan sabotaj yang imaginatif. Dalam novel itu digambarkan komplot rakyat bekas tanah jajahan yang mengembalikan semula luka lama terhadap penjajahnya.

Sebenarnya banyak lagi karya sastera yang telah memainkan peranan untuk membina negara secara psikologi dan pembudayaan. Karya sebegini mengiringi perubahan landskap politik tanah air, daripada zaman penjajahan, selepas penjajahan dan seterusnya mematahkan ancaman neokolonialisme yang tidak henti-henti.

Kini, dalam zaman pascamodenisme apabila berlaku pembauran antara kebenaran dengan kepalsuan, sehingga muncullah agenda pluralisme dan liberalisme dan datang pula era Revolusi Industri 4.0 yang bersendikan kepintaran buatan, cabaran memaknakan kemerdekaan semakin gencar.

Keadaan sudah semakin sukar untuk dipulihkan, terutamanya apabila landskap pendidikan di negara ini tidak tersusun dalam satu jalur yang sepunya, yakni sistem pendidikan kebangsaan dan sekolah satu aliran.

Setelah melihat gejala ini barulah kerajaan berhasrat memperkukuhkan ideologi kebangsaan yang dicitrakan oleh Rukun Negara.Oleh yang demikian, gerakan sastera wajar mengambil kedudukan yang strategik dengan perencanaan yang kreatif dan imaginatif untuk memperkukuhkan ideologi Rukun Negara dalam diri dan peribadi anak bangsa.

Penghasilan karya sastera yang halus olahannya tetapi kuat ideologinya perlu disuburkan dan dijadikan sarana pembinaan sahsiah.

Dalam kata lain, sastera perlu diberi tempat yang penting dalam pembinaan sahsiah anak bangsa dan pengukuhan negara bangsa.

Jangan lagi dicampakkan sastera ke dalam lautan sehingga ia terkapai-kapai kelemasan.

* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Beliau mengajar di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaysia