Lima laporan diterima sepanjang tempoh kempen PRK Slim

Sulizmie Affendy Sulaiman ketika bercakap pada sidang akhbar di IPD Muallim hari ini.
Sulizmie Affendy Sulaiman ketika bercakap pada sidang akhbar di IPD Muallim hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Sebanyak lima laporan polis berkaitan kesalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim diterima sepanjang tempoh 14 hari kempen yang berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan terbaharu diterima semalam kerana tidak puas hati dengan penceramah yang datang berkempen.

"Siasatan awal telah dibuat dan setakat ini kita klasifikasikan kes dirujuk kepada agensi bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini hari ini.

Terdahulu, polis memaklumkan telah menerima empat laporan polis antaranya diterima sejak hari pertama berkaitan papan iklan calon Barisan Nasional (BN) disembur dengan penyembur berwarna hitam.

Laporan juga diterima daripada wakil calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mendakwa berlaku unsur sogokan terhadap pengundi dalam satu program anjuran Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu, polis turut menerima aduan daripada anak pemilik kedai makan yang mendakwa difitnah di media sosial dan dikaitkan dengan parti politik menyebabkan menerima kecaman daripada orang ramai.

Aduan seterusnya berkaitan risalah profil calon BN diedarkan bersama bendera Malaysia yang tertera 'Sumbangan Jabatan Penerangan Malaysia'.

Dalam perkembangan sama, Sulizmie Affendy berkata, proses pengundian hari ini berjalan lancar sehingga semua 12 pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keadaan di semua pusat mengundi adalah terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini atau yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

"Hanya berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa pusat mengundi terutama di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Slim, SK Trolak Selatan dan SK Aminuddin Baki.

"Ia berlaku disebabkan kehadiran pengundi serta struktur jalan yang kecil dan di pekan Slim ini pula pusat-pusat perniagaan beroperasi, namun dengan penugasan yang diatur gerak bersama pasukan-pasukan trafik, kita dapat kawal kesesakan yang berlaku," katanya