Kedah pernah usul PKPD pentadbiran lebih meluas

Dr Mohd Hayati Othman
Dr Mohd Hayati Othman
A
A
A

PENDANG - Kerajaan Kedah sebelum ini pernah mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran diadakan dengan lebih meluas berikutan wujudnya beberapa kluster terutamanya Kluster Tawar yang semakin membimbangkan.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kerajaan negeri terpaksa akur apabila terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakannya mengikut kawasan atau mukim sahaja.

"Antara kekangan adalah dari segi penempatan anggota keselamatan yang terhad untuk mengawal kawasan luas.

"Selain itu, dana yang besar juga diperlukan untuk pengurusan dan mengagihkan bantuan kepada penduduk yang berada di kawasan perintah terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Sumbangan sebanyak RM156,000 kepada 52 masjid di Parlimen Pendang di sini hari ini.

Menurutnya, penyebaran Kluster Tawar di Kuala Muda sangat berbeza berbanding Kluster Sivagangga berikutan kluster terbabit merebak ke banyak kawasan dalam tempoh yang singkat.

"Jika kita lihat, ketika tercetusnya Kluster Sivagangga dahulu, hanya 7,000 penduduk perlu melakukan saringan kerana ia tidak melibatkan kawasan yang luas," katanya.

Katanya, paling membimbangkan virus Kluster Tawar itu mempunyai mutasi D614G yang boleh merebak dengan cepat dan meluas.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin 22,360 penduduk di Amanjaya akan keluar melakukan saringan seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mereka tahu mengenai bahayanya mutasi D614G.

"Sehingga semalam pun sudah lebih 3,000 melakukan saringan dan hari ini kita jangka 2,000 penduduk lagi akan melakukan saringan.

"Ketika ini petugas KKM yang menjalankan saringan di kawasan PKPD pentadbiran itu turut dibantu kakitangan dari pejabat kesihatan daerah berhampiran," katanya.

Dr Mohd Hayati berkata, saringan terhadap semua penduduk di Amanjaya dijangka mengambil masa lebih seminggu.

"Cuma kita minta apabila mereka sudah dipakaikan gelang merah jambu jangan pula ada yang ingkar arahan," katanya.

Sehingga semalam, 73 kes Kluster Tawar direkodkan dan ia merebak di empat daerah iaitu Kuala Muda yang mencatatkan 26 kes, Baling (20), Kulim (15) dan Sik (satu).

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD secara pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani berkuat kuasa 12.01 tengah malam semalam sehingga satu tempoh yang akan diumumkan semula.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD Pentadbiran di Amanjaya, Kedah bermula tengah malam ini

PKPD pentadbiran itu membabitkan 22,360 isi rumah merangkumi 265 rumah dan semua mereka akan disaring.