'Biar saya fikir dulu'

Hamidin (tengah) ketika mempengerusikan Kongres Tahunan FAM ke-56 di Petaling Jaya di sini. - Foto FAM
Hamidin (tengah) ketika mempengerusikan Kongres Tahunan FAM ke-56 di Petaling Jaya di sini. - Foto FAM
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak mahu terburu-buru mengenai status jawatannya walaupun timbul gesaan pemegang taruh yang mahu beliau terus menduduki kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara itu.

Menurut Hamidin, beliau akan memberitahu pendiriannya apabila tiba masanya nanti sambil mengakui tugas berat yang perlu digalas jika terus memegang jawatan tersebut.

"Biar saya fikir dan tengok dahulu. Bila dah sampai tarikhnya saya akan beritahu. Jika saya nak ambil empat tahun lagi, saya kena kerja dua kali ganda. Ini bukan soal senang-senang ambil jawatan, tetapi tanggungjawab yang sangat besar.

"Tahun depan saya akan maklumkan. Beri saya masa untuk fikir dahulu. Semua orang tahu berada dalam dalam industri bola sepak ini bukan sesuatu yang mudah dan sangat mencabar," katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-56 di Petaling Jaya.

Terdahulu, dalam kongres tersebut beberapa perwakilan tampil menyatakan sokongan secara terbuka kepada kepimpinan Hamidin dan mahu beliau terus kekal menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Bagi Hamidin, beliau menghargai sokongan tersebut dan berterima kasih kepada para perwakilan yang terus mempercayai kepimpinannya untuk terus mengemudi FAM.

"Saya ucap terima kasih kepada ahli gabungan yang menyatakan hasrat untuk saya terus kekal untuk penggal seterusnya.Saya ingat bila sampainya masanya saya akan maklumkan.Saya bukan kata tak terima, tetapi biar saya fikir dulu. Saya hargai sokongan daripada perwakilan," katanya.

Untuk rekod, Hamidin telah dipilih sebagai Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 pada Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai 2018. Beliau dipilih bagi menggantikan tempat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Beliau merupakan Presiden FAM ketujuh sejak 1951 turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama dalam kalangan orang biasa bergelar Presiden selepas enam Presiden terdahulu merupakan Perdana Menteri, Menteri Kabinet serta Kerabat Diraja.