Kementerian Sumber Manusia terima laporan pekerja dikuarantin tidak dibayar gaji

Awang (kanan) menyampaikan replika cek sempena Majlis Penyerahan Sumbangan 52 Masjid di Parlimen Pendang, di sini hari ini.
Awang (kanan) menyampaikan replika cek sempena Majlis Penyerahan Sumbangan 52 Masjid di Parlimen Pendang, di sini hari ini.
A
A
A

PENDANG - Kementerian Sumber Manusia akan mencari jalan penyelesaian membabitkan laporan berhubung majikan tidak membayar gaji pekerja yang dikuarantinkan bagi memastikan keputusan yang diambil tidak membebankan kedua-dua pihak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, kementerian itu menerima laporan berkenaan perkara itu tetapi tidak banyak kerana melalui Skim Penjana majikan sudah dibantu dengan subsidi upah untuk membayar gaji pekerja.

"Tetapi, apabila ada aduan, kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja perlu segera berurusan dan berbincang dengan majikan serta pekerja yang terlibat," katanya kepada pemberita ketika Majlis Penyerahan Sumbangan sebanyak RM156,000 Kepada 52 Masjid di Parlimen Pendang, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan sedia maklum dalam krisis koronavirus (Covid-19) banyak industri terjejas di seluruh dunia yang memberi tekanan kepada majikan.

"Sebab itu kita perlu memastikan wujudnya situasi menang-menang. Kita faham majikan mahu menghasilkan keuntungan tetapi dalam keadaan Covid-19 adanya kekangan lain. Begitu juga pekerja yang bukan sengaja tidak hadir bekerja tetapi perlu akur pada perintah kerajaan (kuarantin)," katanya.

Awang turut menasihatkan majikan supaya berbincang dengan pihak kerajaan jika mereka mengalami masalah dan tidak mengambil kesempatan di atas situasi Covid-19 yang diisytiharkan oleh kerajaan sehingga menindas pekerja mereka.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, dalam usaha untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan, kementerian juga telah memperkenalkan konsep 'place and train'.

"Melalui konsep ini kita akan mendapatkan pekerja untuk majikan dan kementerian akan memberi latihan seperti keperluan majikan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Ia berbeza dengan konsep sebelum ini yang memberi latihan terlebih dahulu tetapi tamat saja latihan individu itu belum tentu dapat kerja, jadi kita sudah membazir duit," katanya