Rejaman KL Thunders gamit tumpuan

Wakil pemain setiap pasukan bergambar bersama pada majlis pelancaran jersi Li-Ning STL 2020 di Kuala Lumpur semalam.
- FOTO ROSLI TALIB
Wakil pemain setiap pasukan bergambar bersama pada majlis pelancaran jersi Li-Ning STL 2020 di Kuala Lumpur semalam. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KEHADIRAN dua pemain berpengalaman, Mohd Syahir Rosdi dan Mohd Azlan Alias dijangka memberi kelebihan kepada Kuala Lumpur Thunders (KL Thunders) untuk melakar keputusan positif pada Liga Sepak Takraw League (STL) 2020 yang bermula 18 September ini.

Bagaimanapun, ketua pasukan KL Thunders, Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi berkata, dia tidak mahu terlalu selesa dengan kehadiran dua bekas pemain Penang Black Panthers itu kerana sedar pasukan lain juga dijangka memberi saingan sengit kepada mereka musim ini.

Mohd Syahir selaku tekong ialah bekas pemain kebangsaan manakala Mohd Azlan yang beraksi di posisi apit kanan merupakan pemain kebangsaan.

"Gambaran untuk memenangi kejuaraan itu belum ada lagi kerana dalam permainan (sepak takraw) ada pelbagai kemungkinan yang tak boleh dijangka.

"Oleh itu, kami akan berikan yang terbaik pada musim ini,” katanya selepas majlis pelancaran jersi STL 2020 jenama Li Ning bagi musim 2020 oleh Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abd Aziz di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Kapten Perak Bison, Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi pula optimis pasukannya mampu mengekalkan kejuaraan Divisyen Premier yang dimenangi musim lalu menerusi penampilan beberapa muka baharu.

Bagaimanapun, Amirul Ramadhan turut melabelkan KL Thunders sebagai pencabar utama Perak Bison untuk mempertahankan kejuaraan berdasarkan kehadiran beberapa pemain berpengalaman dalam pasukan tersebut.

10 pasukan bakal beraksi dalam saingan Divisyen Premier yang dijadualkan berlangsung mulai 18 September hingga 11 Oktober iaitu KL Thunders, Johor Tigris, Negeri Sembilan Antlers, ATM Guardians, PDRM Defenders, Selangor Pistons, Kelantan Warriors, Perak Bison, Penang Black Panthers dan Pahang Mammoth.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, saingan Divisyen Satu akan membuka tirai dari 8 hingga 13 September dengan melibatkan penyertaan lapan pasukan iaitu Terengganu Turtles, MASUM-UPM Knights, Putrajaya Cyborg, Bomba Fighters, Perlis Vipers, Melaka Titans, PSM Mavericks dan Kedah Eagles.

Saingan kedua-dua divisyen berkenaan bakal diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebagai mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan pihak berkuasa.

Empat pasukan terbaik, masing-masing dari Divisyen Premier serta Divisyen Satu, layak beraksi dalam saingan Piala Juara-Juara (Champions Cup) yang akan diadakan di Iskandar Malaysia, Johor dari 23 hingga 29 November depan. - Bernama