Pupuk nilai-nilai murni untuk bina bangsa Malaysia

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

TANGGAL 31 Ogos sekali lagi menjelma. Istimewanya tarikh tersebut pada tahun ini, ia hadir setelah 50 tahun Rukun Negara digagaskan serta selepas 29 tahun sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 1991 mengangkat tema Wawasan 2020.

Berbicara mengenai Wawasan 2020 tidak lengkap tanpa diselitkan ulasan mendalam mengenai pembentukan bangsa Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam matlamat pertamanya seperti berikut:

“Mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu, sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan membentuk sebuah bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”

Latar belakang negara Malaysia sebagai sebuah negara majmuk masih lagi diperkatakan sehingga kini.

Justeru, persoalan ke arah pembinaan bangsa Malaysia perlu dirungkai dengan cermat untuk dijadikan sebagai asasnya.

Antaranya menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas rujukan utama. Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan contohnya, seharusnya mengingatkan umat Islam bahawa agama ini telah meletakkan suatu dasar dan panduan Syariat yang terbaik untuk umatnya.

Antara maslahat utama yang digariskan dalam ajaran Islam ialah menjaga keselamatan dan kepentingan seluruh manusia berasaskan persaudaraan dan kasih sayang.

Sejelasnya dalam hal ini, Sahifah (Perlembagaan) Madinah boleh sebagai dokumen asas yang menyokong cita-cita murni bagi melahirkan sebuah Bangsa Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Syekh Hassan as-Saffar menjelaskan bahawa Piagam Madinah menganjurkan konsep ‘nasrah wa-taawun’ (bantu-membantu dan berkerjasama) sesama anggota masyarakat.

Ini sesuai dengan sabda Nabawi, bahawa insan terbaik adalah yang paling berguna dan memberi manfaat kepada orang lain.

Aspek kepentingan bahasa kebangsaan sebagai ejen pemersatu masyarakat tidak boleh dikesampingkan. Bahasa kebangsaan tidak sekadar wujud dalam bentuk susunan kata-kata. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan juga memartabatkan budaya kesopanan dan ketamadunan bangsa.

Selain dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu juga wahana pengikat sosial yang mampu merentas tembok perbezaan identiti khususnya dalam masyarakat majmuk di negara ini. Bahasa Melayu sudah lama wujud sebagai bahasa kesatuan dan pemersatuan.

Justeru, peranan serta usaha memartabatkan perlu dipergiat serta diperluas. Jika seluruh rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa iaitu Bangsa Malaysia.

Untuk menjayakan pembinaan Bangsa Malaysia, tumpuan juga perlu diberi untuk membentuk perwatakan serta kualiti sumber daya insan kerana ia adalah cerminan kepada hala tuju sesebuah negara. Sudah tentu pembangunan ekonomi itu penting tetapi pembinaan jiwa serta minda baru yang mempunyai ikatan moraliti adalah sangat signifikan untuk negara kita.

Bangsa Malaysia juga harus memartabatkan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, kesederhanaan dan integriti dengan menentang gejala kebejatan seperti kezaliman, dan kecurangan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Untuk itu kita perlu berfikir secara kritis serta punya keberanian untuk bertindak.

Kejayaan tak hanya diukur semata-mata berdasarkan kemampuan membangun bangunan pencakar langit. Asas kepada sesebuah perlu didefinisikan berasaskan semangat untuk menjadi bangsa yang bermaruah dan bisa memberikan teladan kepimpinan yang baik.

Dalam hal ini wajar kita mengambil renungan daripada kata pujangga tersohor Jawa zaman silam, Ranggawarsita, untuk mengelakkan keadaan sepertimana digambarkan dalam ‘Serat Kalatidha’ mengenai zaman beliau yang penuh dengan kebejatan apabila masyarakat sudah kekeringan teladan, apabila para ilmuwan dan pemimpin dibawa arus yang rosak.

Untuk membina masyarakat yang kukuh, bangsa Malaysia perlu diasaskan daripada semangat bela negara dari seluruh kekuatan rakyat. Semangat ini mendorong rakyat untuk sanggup berjuang mengorbankan jiwa raga, untuk membela tanah air daripada sebarang unsur yang boleh membawa kepada kehancuran.

Bangsa Malaysia tidak seharusnya membenarkan sebarang unsur perpecahan meresap masuk dalam masyarakat kerana, sekali kesatuan itu diceroboh, penyesalan pada kemudian hari tidak membawa apa-apa makna.

Jauhilah sikap mengadu domba dan khianat mengkhianati; untuk membentuk pembinaan bangsa yang progresif, bersatu padu dan menjunjung nilai persefahaman antara satu sama lain.

Malaysia ibarat sebuah rumah yang besar yang didiami seluruh anak bangsa, dari Kota Samarahan sampai ke Kangar, dari Banjaran Titiwangsa ke puncak Gunung Kinabalu, untuk merealisasikan impian dan cita-cita luhur kita bersama.

Marilah sama-sama kita padamkan sebarang bara perkauman sempit daripada terus menyala. Raikanlah keharmonian hidup bersama pelbagai kaum yang terdapat di negara kita yang tercinta ini.

Cukuplah dalam abad-abad lalu semasa kita dijajah oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun. Di alaf baru jangan pula kini kita terus dijajah dengan kejahilan serta ketaksuban ciptaan kita sendiri.

Dengan minda yang sedar sebagai bangsa Malaysia yang bermaruah dan bermartabat. Untuk itu, bangsa Malaysia yang waras dan matang harus kembali kepada akarnya di samping menyesuaikan diri seperlunya dengan realiti kini dan esok nanti. Kobar jiwa merdeka... hidup Malaysia kita!

**Zairudin Hashim ialah Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)