Lebih 3,000 penduduk Ambangan Heights disaring

Sebahagian penduduk yang membuat saringan Covid-19 di Surau Salahuddin Al-Ayubi, Zon Melor, Ambangan Heights, Sungai Petani.
Sebahagian penduduk yang membuat saringan Covid-19 di Surau Salahuddin Al-Ayubi, Zon Melor, Ambangan Heights, Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 3,216 orang atau 14.4 peratus penduduk Ambangan Heights di sini yang diarahkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran disaring sehingga jam 8 malam semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, saringan akan diteruskan sehingga kesemua 22,360 orang penduduk di kawasan terbabit disaring.

Menurutnya, proses saringan dijalankan di enam buah pusat pengambilan sampel koronavirus (Covid-19) dan terdapat dua pusat ditempatkan di setiap zon membabitkan Zon Mawar, Melor dan Kenanga di Ambangan Heights.

"Proses saringan bermula pada jam 8 pagi hingga jam 8 malam antaranya di Sekolah Kebangsaan Ambangan Heights dan Surau Muhammad Al-Fateh bagi penduduk di Zon Kenanga.

"Surau Al-Ikhlas dan Surau An-Nur bagi penduduk di Zon Mawar serta Surau Salahuddin Al-Ayubi dan Masjid Al-Imam An Nawawi bagi penduduk di Zon Melor," katanya.

Proses pengambilan sampel di Surau Salahuddin Al-Ayubi, Zon Melor, Ambangan Heights, Sungai Petani bermula jam 8 pagi hingga jam 8 malam.
Proses pengambilan sampel di Surau Salahuddin Al-Ayubi, Zon Melor, Ambangan Heights, Sungai Petani bermula jam 8 pagi hingga jam 8 malam.

Katanya, sampel yang diambil dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan Sungai Buloh dan seramai 700 anggota kesihatan dimobilisasikan bagi melancarkan PKPD pentadbiran yang bermula semalam.

"Selain daripada itu, aktiviti promosi kesihatan turut giat dijalankan di semua zon terlibat meliputi enam pasukan dengan kekuatan 15 orang anggota.

Artikel Berkaitan:

"Antara aktiviti tersebut adalah hebahan awam sebanyak 216 kali, edaran risalah sebanyak 7,250 keping di enam buah pondok panas, nasihat individu sebanyak 140 sesi dan perkongsian maklumat dalam laman sosial Facebook Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda dan Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kedah," katanya.

Dr Mohd Fikri berkata, setiap individu dinasihatkan kekal duduk di rumah dan diberikan talian kecemasan untuk dihubungi.

"Kita juga menasihati seluruh penduduk negeri Kedah agar mematuhi prosedur operasi standard dan membudayakan normal baharu seperti dilancarkan Perdana Menteri di Kompleks Sukan Pagoh, Johor pada 8 Ogos lalu," katanya.

Sejak semalam, tiga zon di Ambangan Heights yang terletak di Bandar Amanjaya di sini diarahkan menjalani PKPD pentadbiran bagi membendung penularan Covid-19.