Malaysia sedia hadapi Piala Raja Thai

Akramuddin (tengah) hadir pada majlis pelancaran jersi pasukan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 di sebuah pusat beli-belah Kuala Lumpur semalam. - FOTO ZURAIMEE ZAINAL
Akramuddin (tengah) hadir pada majlis pelancaran jersi pasukan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 di sebuah pusat beli-belah Kuala Lumpur semalam. - FOTO ZURAIMEE ZAINAL
A
A
A

MALAYSIA dijangka menyertai kejohanan sepak takraw Piala Raja Thai di Bangkok, Disember depan sebagai persiapan awal skuad negara menghadapi Sukan SEA di Vietnam tahun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, kejohanan berkenaan menjadi antara medan pemilihan pemain bagi mewakili negara pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyertaan skuad negara bergantung kepada permohonan rentas sempadan yang akan dihantar badan induk itu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandangkan kebanyakan negara masih tidak membenarkan kedatangan pelawat luar negara susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Pemain kita telah mengadakan latihan pusat (sejak awal tahun) dan saya percaya semangat yang telah ditunjukkan pemain kita. Insya-ALLAH satu keputusan positif akan menjelma pada Sukan SEA nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi Liga Sepak Takraw (STL) jenama Li Ning di Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, Malaysia pernah menjuarai kategori antara regu pada saingan Piala Raja Thai bagi edisi 2010, 2011 dan 2013.

Sementara itu, Vietnam dilaporkan bercadang mempertandingkan lapan acara sepak takraw pada Sukan SEA ke-31.

Dalam pada itu, Akramuddin yakin penganjuran STL pada musim ini di Stadium Titiwangsa di sini tetap meriah walaupun tanpa kehadiran penonton sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan kejohanan tahunan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Penonton (siaran televisyen) yang menyaksikan saingan STL pada musim lepas hampir mencecah enam juta dan menjangka jumlah berkenaan akan meningkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak lapan pasukan Divisyen Satu dan 10 pasukan Premier menyertai saingan STL musim ini. Saingan Divisyen Satu akan bermula 8 September ini manakala Liga Premier pada 18 September ini.