Kospen akan diperhebat untuk perkasa komuniti tangani NCD

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (depan, dua dari kiri) melihat dari dekat sajian yang dihasilkan setiap peserta pertandingan Snek Sihat semasa singgah ke tapak pameran selepas merasmikan Program Sukarelawan Komuniti Sihat Pembina Negara Peringkat Negeri Melaka hari ini. -Foto Bernama
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (depan, dua dari kiri) melihat dari dekat sajian yang dihasilkan setiap peserta pertandingan Snek Sihat semasa singgah ke tapak pameran selepas merasmikan Program Sukarelawan Komuniti Sihat Pembina Negara Peringkat Negeri Melaka hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperhebat program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) di seluruh negara bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang merupakan antara penyebab utama kematian pramatang di negara ini.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Mobiliti 2019, peratus rakyat Malaysia dewasa yang mengalami obesiti meningkat kepada 19.7 peratus berbanding 17.7 peratus pada 2015 sementara penghidap diabetes pula meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada tahun sama.

“Hipertensi masih kekal pada tahap 30 peratus. Jadi Kospen sangat penting dan merupakan inisiatif kementerian bagi memperkasa komuniti dalam pencegahan risiko penyakit tidak berjangkit agar mereka bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sukarelawan Kospen peringkat negeri Melaka di sini hari ini.

Menurutnya, Kospen juga komponen penting dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat yang diluluskan Kabinet baru-baru ini.

Beliau berkata, Alor Gajah merupakan lokasi kedua Kospen selepas Bagan Serai, Perak pada Julai lepas dan program itu akan diadakan di tiga lokasi lagi dalam masa terdekat iaitu di Sungai Besar, Selangor; Hulu Terengganu, Terengganu dan Jempol, Negeri Sembilan.

Sejak diperkenalkan pada 2013, Kospen kini mempunyai kira-kira 5,000 sukarelawan yang memainkan peranan antaranya menjalankan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan penduduk setempat. - Bernama

Artikel Berkaitan: