Hapuskan karenah birokrasi bantu pulih ekonomi

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Penjawat awam di negara ini perlu memainkan peranan penting dalam usaha mempercepat pemulihan ekonomi negara yang kini terjejas teruk akibat penularan koronavirus (Covid-19), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penjawat awam seharusnya menghapuskan karenah birokrasi yang menyukarkan rakyat memulihkan sosioekonomi serta kehidupan mereka dan berfikir di luar kotak dalam menyelesaikan masalah dihadapi rakyat pada masa ini.

"Sepatutnya lulus seminggu ambil masa belek dahulu, lihat dahulu sampai tiga bulan (baru diluluskan), masa itu ekonomi buruk anda (penjawat awam) tidak membantu. Seperti lesen perniagaan bila Covid-19 banyak peniaga tepi jalan tidak dapat berniaga.

"Sekarang boleh buka, tetapi jika peniaga nak kembali berniaga tunggu setahun (lulus lesen) bagaimana. Mereka ada isteri dan keluarga," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor.

Muhyiddin berkata, penjawat awam perlu faham bahawa pengurusan pandemik Covid-19 perlu seimbang antara menjaga kesihatan awam dan memastikan kestabilan ekonomi negara.

Beliau berkata, apa yang penting pada masa ini adalah memelihara kehidupan rakyat di negara ini dan menjana ekonomi negara yang seterusnya dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu buat masyarakat.

"Isu utama ialah bagaimana hendak menghidupkan semula ekonomi, bagaimana nak memelihara sumber pendapatan rakyat. Ini bukan sahaja mengenai kehidupan, kesihatan dan punca pendapatan tetapi juga soal ekonomi. Kita harus membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Sektor terjejas teruk (ketika Covid-19) sektor pelancongan, sempadan negara masih ditutup. Tetapi ada tanda-tanda pemulihan dengan hotel sudah mula penuh bukan dengan warga asing tetapi warga tempatan. Ini peranan warga tempatan kita dalam membantu sektor ekonomi ini," katanya.

Menurutnya, Malaysia merupakan antara negara terhadapan dalam menangani dan menguruskan Covid-19, bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak boleh sama sekali menjadi antara negara yang terbelakang dalam memulihkan ekonomi pasca-Covid-19.

Muhyiddin berkata, penularan Covid-19 telah memberikan banyak pengajaran kepada semua pihak antaranya perlunya langkah digitalisasi dilaksanakan secara berkesan bagi membantu rakyat meneruskan kehidupan dan menjana pendapatan.

“Misalnya, rakyat terutamanya anak muda kini bijak memasarkan produk mereka secara dalam talian serta perlunya internet berkelajuan tinggi dalam membantu pembelajaran secara dalam talian antara guru dan anak muridnya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025) akan melaksanakan Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam usaha penambahbaikan komunikasi digital negara yang mana Sabah merupakan antara negeri yang bakal memperoleh manfaat besar dalam pelan tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan keperluan Sabah apabila sebanyak RM11.22 bilion telah diperuntukkan bagi membangunkan sosioekonomi negeri termasuk sektor perindustrian, pendidikan, pelancongan dan pertanian.

Bagaimanapun katanya, adalah lebih baik sekiranya kerajaan Sabah sehaluan dan dengan kerajaan Persekutuan pimpinannya serta dapat bekerja sebagai satu pasukan kerana ia dapat memberi kesan yang lebih besar dalam pelbagai aspek. - Bernama