Dedah pengalaman lebih sedekad dampingi Tunku Azizah

Sepuluh individu terdekat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi cerita dan pengalaman lebih sedekad, mendampingi wanita nombor satu negara itu di Hotel Shahzan Inn, di sini, hari ini.
Sepuluh individu terdekat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi cerita dan pengalaman lebih sedekad, mendampingi wanita nombor satu negara itu di Hotel Shahzan Inn, di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sepuluh individu terdekat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi cerita dan pengalaman lebih sedekad, mendampingi wanita nombor satu negara itu di Hotel Shahzan Inn, di sini, hari ini.

Mereka ialah, bekas pegawai peribadi baginda, Saerah Ali; bekas Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia, Normala Baharudin; Pengerusi Ibu Tunggal Negeri Pahang, Datuk Melati Ali; kawan rapat baginda, Datin Seri Tan Puay Ling; Setiausaha Kehormat Yayasan Fertiliti Tun Azizah, Datuk Hamimah Abdul Karim; Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Pekan, Datuk Khatijah Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd Jalal; guru, Kabtiah Zakariah dan bekas jururawat dan bidan baginda, Datin Pathma Ramanathan.

Bagi Saerah, Tunku Azizah sememangnya mempunyai keperibadian yang tinggi, kental dan terpuji.

Saerah berkata, beliau antara individu paling rapat yang menyaksikan kekuatan baginda saat diuji dengan ketiadaan zuriat.

"Lebih 10 tahun baginda menunggu. Baginda juga melalui 16 kali proses rawatan kesuburan termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) dan Intra-cytoplasmic sprem injection (ICSI) sebelum mengandungkan anak-anak.

"Sepanjang tempoh 16 kali melalui kaedah IVF dan ICSI itu, baginda mengalami detik paling ditakuti semua wanita iaitu enam kali keguguran. Peribadi tuanku saat diuji melalui fasa keguguran sebanyak enam kali mempamerkan semangat juang luar biasa.

"Dalam hal lain baginda seorang yang sangat aktif. Masa baginda down, sakit selepas buat IVF baginda masih nak bekerja dari atas katil. Baginda sangat terperinci orangnya," katanya yang bekerja selama 22 tahun di Istana.

Bagi Kabtiah pula, antara sikap baginda yang amat dikagumi adalah kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap puteranya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

"Tuanku bukan sahaja menghantar dan mengambil anakanda sendiri, bahkan sanggup menunggu sesi persekolahan sampai tamat. Apabila habis sesi persekolahan, tuanku bertanya perkembangan anakanda bagaimana di sekolah.

"Saya mengajar Tengku Mahkota sejak darjah 1 hingga 3 bagi subjek Matematik, Bahasa Melayu dan Inggeris. Dua persamaan sikap baginda dan Tengku Mahkota adalah sangat sopan dan merendah diri.

"Ketika anak saya meninggal dunia, dalam keadaan saya sedih dan lemah, baginda berikan semangat untuk terus berdoa dan sembahyang. Baginda juga sudi cemar duli datang hari pengebumian, hingga ke kubur anak saya. Pada sebelah malamnya, baginda telefon lagi saya dan tanya jika saya perlukan bantuan," katanya.

Bagi Hamimah, Tunku Azizah merupakan seorang yang sangat aktif dalam persatuan antaranya Pasukan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) sejak bersekolah rendah di Johor Bahru semasa berusia 9 tahun, iaitu Pasukan Brownie.

Baginda berpindah ke Pahang pada 1986 dan terus aktif dengan dilantik sebagai yang Dipertua PpPM Pahang selepas setahun kemangkatan bonda nertua, Almarhum Tengku Ampuan Afzan pada 1988.

Pada 2001, baginda menubuhkan Guild Trefoill of Pahang penghargaan dan mengenang jasa kepada pimpinan terdahulu dan platform bagi meneruskan pergerakan itu.