Cadangan buka keahlian bukan Melayu bukan perkara sensasi

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

ALOR SETAR - Cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membuka ruang kepada kaum lain menyertai parti berkenaan bukanlah perkara sensasi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, UMNO dan Pas sendiri telah membuka keahlian untuk orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Wan Saiful berkata, ramai ahli-ahli UMNO yang terdiri daripada Bumiputera bukan Melayu dan bukan Islam serta Orang Asal bukan Melayu dan bukan Islam.

"Dahulu, Pas juga ada Kelab Penyokong PAS dan kini Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai platform rasmi orang bukan Melayu dan bukan Islam dalam PAS.

"Malah, ada calon-calon bukan Melayu dan bukan Islam bertanding pilihan raya termasuklah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan inilah lambang keterbukaan Islam iaitu selagi mana istiqamah setia dan taat kepada prinsip perjuangan maka ia tidak menjadi isu," katanya dalam kenyataan dimuatnaik di Facebook miliknya, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu sedia pinda Perlembagaan benarkan penyertaan kaum lain

Katanya, PAS dan UMNO membentuk Muafakat Nasional tanpa ada sesiapa yang mempersoalkan wujudnya ahli-ahli bukan Melayu dan bukan Islam dalam kedua-dua parti tersebut.

"Tidak ada sesiapa yang tiba-tiba terbangun dari tidur bercakap mengenai Pakatan Melayu Islam yang eksklusif, kerana jika itulah pegangannya, maka Muafakat Nasional sendiri tidak akan dapat diwujudkan oleh kedua-dua parti yang memang telah ada ahli bukan Melayu dan bukan Islam," katanya.

Menurut beliau, Perlembagaan Bersatu sejak dari awal penubuhan lagi membolehkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menyertai parti, yang mana tiada beza dengan UMNO dan PAS.

Artikel Berkaitan:

"Jadi janganlah mencipta cerita sensasi yang sebenarnya tidak wujud,"katanya.

Tambahnya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersetuju mengkaji mewujudkan struktur lebih baik untuk membolehkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menjadi Ahli Bersekutu turut terlibat dalam kegiatan parti tanpa menjejaskan prinsip-prinsip dipegang parti dan mengekalkan orang Melayu Islam sebagai teras.

"Perkara ini telah wujud dalam UMNO dan PAS. Maka Bersatu juga mahu memberi ruang yang sama.Tidak ada apa-apa yang sensasi dalam hal ini," katanya.

Wan Saiful berkata, meneruskan pergerakan ke arah penyatuan agar kestabilan politik dalam negara dapat dikembalikan dan memberi fokus kepada menjaga nasib rakyat adalah lebih penting.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan memberitahu parti terbabit sedia meminda Perlembagaan parti untuk membolehkan penyertaan kaum lain termasuklah memegang jawatan dalam parti itu.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan mendapat perhatian Pengerusi Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang berpendapat bahawa Bersatu tidak lagi layak menjadi anggota Pakatan Melayu Islam selepas memutuskan menerima bukan Melayu sebagai ahli parti tersebut.