Pemandu lori ditahan beli diesel guna tong drum

Pemandu lori ditahan bersama lori dan tong drum yang diisi diesel pagi kelmarin.
Pemandu lori ditahan bersama lori dan tong drum yang diisi diesel pagi kelmarin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pemandu lori ditahan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Seberang Perai Utara kerana didapati membeli diesel menggunakan tong drum tanpa dokumen yang sah kelmarin.

Ketua pegawai penguatkuasanya, Akram Karim Mohamad Arip berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua di sini pada jam 11.50 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, lelaki tersebut membeli bahan api tersebut untuk kegunaan jentera di tapak pembinaan projek perumahan.

"Lelaki tersebut meletakkan tong drum di atas sebuah lori dan hasil pemeriksaan, ia tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah.

"Oleh itu, kita menyita 400 liter diesel dan sebuah lori yang digunakan dalam proses membeli bahan bakar tersebut sementara pemandu lori juga ditahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Beliau berkata, nilai sitaan berjumlah RM10,681 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kita memandang serius ke atas penyelewengan ini dan akan sentiasa menjalankan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang berkaitan.

"Kita juga mengharapkan kerjasama daripada orang ramai bagi menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP. Selain itu, peniaga juga dinasihatkan memberi kerjasama dalam mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya.

Artikel Berkaitan: