Keluar Kabinet: Annuar tolak gesaan Ku Li

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO menolak gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah supaya menteri UMNO keluar dari Kabinet setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk membuka pintu keahlian partinya kepada bukan Melayu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menolak gesaan Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, mungkin Tengku Razaleigh atau mesra disapa Ku Li lupa bahawa UMNO dan Pas sendiri mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam.

"Mungkin Ku Li terlupa UMNO dan Pas sendiri mempunyai ahli bukan Melayu dan bukan Islam. Dasar dan piagam Muafakat Nasional jelas, kita meraikan kepelbagaian kaum dan Malaysia yang majmuk," ciap Annuar di Twitter miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li disaran tak campur urusan Bersatu

Bersatu tidak layak jadi Pakatan Melayu Islam: Ku Li

Ku Li gesa menteri UMNO undur segera dari Kabinet

Dalam ciapan berasingan, Annuar yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, politik dan sentimen perkauman yang ‘tebal’ tidak lagi sesuai dalam politik Malaysia.

“Saya tidak pasti apakah benar ini kenyataan Ku Li. Jika benar, ia hanya pendapat peribadi. Yang pasti, dasar UMNO tidak mencampuri dasar dalaman parti sahabat.

Artikel Berkaitan:

“UMNO dan Pas juga ada ahli bukan Melayu dan bukan Islam. Piagam Muafakat Nasional dengan jelas menjunjung kepelbagaian kaum dalam masyarakat majmuk,” ciapnya lagi.

Semalam, Ku Li berkata, tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam 'pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional'.

Minggu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program di Kuala Lumpur memberitahu parti itu sedia meminda perlembagaan bagi membolehkan ahli bukan Melayu memegang jawatan dalam parti berkenaan.

Difahamkan cadangan tersebut akan dibentangkan oleh jawatankuasa khas diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim untuk dipersetujui bersama di peringkat MPT.

Ia berikutan kemasukan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya ke dalam Bersatu pada Ahad di mana sebahagian penyokong Azmin sebilangan besarnya bukan bumiputera.