KPM nafi warta cadang bina, pindah 10 SJKC

Muslimin (tiga dari kiri) hadir mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Ride Against Drugs 2020 di Pasar Jerami Parit Parit 14, Ban Kenal hari ini.
Muslimin (tiga dari kiri) hadir mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Ride Against Drugs 2020 di Pasar Jerami Parit Parit 14, Ban Kenal hari ini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan meluluskan sebarang pewartaan mengenai cadangan pembinaan dan pemindahan 10 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, beliau dimaklumkan setakat ini KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan dengan pembinaan dan pemindahan sekolah terbabit.

Menurutnya, mungkin berlaku sedikit kekeliruan berhubung laporan terbabit sekali gus boleh membangkitkan sentimen perkauman.

"Warta itu bukan warta baharu sebaliknya merupakan cerita lama yang cuba dibangkitkan semula oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Program Ride Against Drugs 2020 di Pasar Jerami Parit Parit 14, Ban Kenal di sini hari ini.

Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, cadangan pembinaan sekolah terbabit juga tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"Kita sudah memasuki penghujung RMK-11 dan setakat ini tiada rancangan berhubung perkara terbabit," katanya.

Justeru katanya, semua pihak terutama pengendali media sosial diminta berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keharmonian kepelbagaian kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini perlu diambil perhatian serius kerana kita takut ia membongkar semula perkara lama serta boleh menimbulkan sentimen masyarakat yang sedang kita bina dengan semangat perpaduan," katanya.

Sebelum ini, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa KPM menjelaskan mengenai cadangan pembinaan dan pemindahan 10 SJKC seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung perkara itu sedangkan dalam satu laporan media dinyatakan sebanyak 10 sekolah baharu akan dibina dan enam dipindahkan ke kawasan baharu.