KKM teliti maklum balas sebelum naikkan kadar kompaun

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berucap ketika hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pelitup Hidung dan Mulut oleh Econsave Cash & Carry Sdn Bhd kepada Gabungan Tahfiz Johor di Econsave Kota Tinggi hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

KOTA TINGGI - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti pandangan dan maklum balas masyarakat sebelum menaikkan kadar kompaun kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong kadar kompaun RM1,000 dinaikkan.

"Sekiranya kita mahu supaya kompaun dinaikkan, kita kena pinda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM cadang naikkan kompaun dari RM1,000 kepada RM10,000

"Kementerian Kesihatan sedia untuk bawa akta ini untuk dipinda ke sidang Parlimen pada masa akan datang," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Pelitup Muka Kepada Pertubuhan Gabungan Tahfiz Negeri Johor dan Pelancaran Harga Istimewa Pelitup Muka di Pasaraya Econsave Daiman Jaya di sini hari ini.

Adham (tiga dari kiri) melihat pelitup muka selepas Majlis Penyerahan Pelitup Muka Kepada Pertubuhan Gabungan Tahfiz Negeri Johor dan Pelancaran Harga Istimewa Pelitup Muka di Econsave Cash & Carry Sdn Bhd kepada Gabungan Tahfiz Johor di Econsave Kota Tinggi hari ini.

Semalam Muhyiddin dalam pengumuman khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyokong kadar kompaun dinaikkan dua atau tiga kali ganda kepada mereka yang ingkar SOP.

Artikel Berkaitan:

Pada masa kini, Akta 342 hanya memperuntukkan denda maksima RM1,000 terhadap orang ramai yang ingkar SOP.

Adham berkata, cadangan tersebut akan dibincangkan dalam Kabinet selain melihat respons rakyat kerana ada Ahli Parlimen yang meminta kadar kompaun sedia ada dikurangkan.

Menurutnya, Ahli Parlimen terbabit memberi alasan terdapat orang awam yang tidak mampu membayar kadar tersebut kerana terlalu tinggi.

Bagaimanapun katanya, pegawai yang melakukan kompaun tersebut boleh menggunakan budi bicaranya dengan tidak mengenakan bayaran maksimum sebaliknya RM100 atau RM200 hingga RM1,000 mengikut kemampuan pesalah.