Ku Li disaran tak campur urusan Bersatu

Tengku Razaleigh Hamzah - Foto fail Bernama
Tengku Razaleigh Hamzah - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah disaran supaya tidak masuk campur urusan parti lain seperti isu parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membuka ruang kepada kaum lain menyertai perjuangan mereka.

Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, setiap parti mempunyai pelan perjuangan tersendiri melalui perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi.

“Lebih baik kita duduk diam. Mereka (Bersatu) ada hala tuju sendiri dalam setiap apa yang dilakukan. Kita berada di luar kumpulan mereka, tidak boleh membuat andaian dengan apa sahaja keputusan yang dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu tidak layak jadi Pakatan Melayu Islam: Ku Li

'Kenyataan Ku Li pandangan peribadi'

“Rasanya lebih baik Ku Li (Tengku Razaleigh) menumpukan perhatian kepada beberapa isu lain lebih penting, rakyat sedang menunggu pelbagai manfaat yang boleh diberikan UMNO kepada negara. Itu lebih penting,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Dr Rusdi Omar
Dr Rusdi Omar



Beliau mengulas mengenai kenyataan Ku Li yang berpendapat Bersatu tidak lagi layak menjadi anggota Pakatan Melayu Islam yang disokong Muafakat Nasional selepas memutuskan untuk menerima bukan Melayu menjadi ahli parti itu.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan memberitahu, parti itu sedia meminda Perlembagaan parti bagi membolehkan penyertaan kaum lain termasuk memegang jawatan dalam parti itu.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, cadangan tersebut akan dibentangkan jawatankuasa khas diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim untuk dipersetujui bersama di peringkat MPT.

Mengulas lanjut, Rusdi yang juga penganalisis politik memberitahu, tidak salah untuk mana-mana parti mempunyai penyokong atau keahlian daripada masyarakat bukan Islam atau Melayu.

“UMNO ada, Pas pun ada, apa masalahnya. Biasa saja, tidak semestinya parti Melayu, orang bukan Melayu tidak boleh sertai. Sepatutnya pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam ini kena maju ke hadapan dan kurangkan berpolitik tanpa tujuan sebab rakyat sudah naik muak dengan kerenah mereka.

“Biasalah dalam politik negara kita, rakyat Malaysia adalah berbilang kaum. Kita tidak boleh bergantung pada satu kaum semata-mata. Jangan terlalu taksub pada satu kaum saja.

"Bersatu adalah merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mana perkataan Pribumi itu tidak semestinya orang Melayu. Berhentilah fikir perkara remeh temeh. Kasihan kepada rakyat. Sudah sampai masanya politik matang dan sejahtera perlu diterapkan dalam politik Malaysia hari ini,” katanya.