X

Kindly register in order to view this article
!

PRU wajar diadakan segera, kembalikan kekuatan kerajaan

Ahmad Martadha Mohamed
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum (PRU) perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mendapatkan legitimasi terhadap kerajaan berikutan sokongan yang tidak begitu kukuh dalam kalangan ahli Parlimen terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kritikan tanpa henti daripada UMNO.

Penganalisis politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, PN juga masih di peringkat awal penubuhan dan tidak begitu kukuh apabila UMNO serta Barisan Nasional (BN) enggan menyertai PN secara rasmi.

Menurutnya, perbincangan berkaitan peletakan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut menampakkan konflik dalam kalangan UMNO, Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Justeru jalan terbaik ialah mengadakan PRU dengan segera. Bagaimanapun tarikh PRU pastinya akan bergantung kepada prestasi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah yang dijadualkan berlangsung 26 September depan.

“Jika PN menang maka PRU dijangka diadakan seawal Januari namun jika sebaliknya berlaku berkemungkinan akan diadakan pertengahan atau akhir tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

x-default
x-default

Sementara itu pendapat berbeza disuarakan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis yang melihat secara umumnya tiada keperluan PRU kerana hanya bergantung kepada mereka yang akan mendapat manfaatnya.

Menurutnya, PRU mengejut tidak perlu kerana beberapa perkara terutama ketika negara sedang berusaha memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19).

“Kerajaan yang memerintah perlu diberikan fokus kepada usaha memulihkan ekonomi yang terjejas teruk Covid-19 dan mengembalikan semula kestabilan politik serta keyakinan pelabur.

“Bagaimanapun dari aspek politik jelas ada parti yang mahu PRU diadakan segera disebabkan keyakinan bahawa sentimen rakyat akan memihak kepada mereka terutama dalam keadaan semasa parti memerintah yang terlalu rapuh,” katanya.

Dalam pada itu, Mujibu berkata, UMNO bagaimanapun terus memberikan tekanan kepada Bersatu terutamanya selepas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu semua ahli UMNO dalam kerajaan keluar disebabkan Bersatu tidak lagi berada di jalur politik Melayu-lslam selepas mereka membuka keahlian kepada bukan Melayu.

Katanya, UMNO berterusan menganggap Bersatu bukan sahabat mereka tetapi hanya menyokong bagi membolehkan kerajaan dibentuk dalam konteks PN berbanding Muafakat Nasional (MN) sebagai prioriti yang boleh disifatkan sebagai tekanan berterusan kepada PN supaya PRU dilaksanakan segera.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!