Maqis patah cubaan seludup kerapu, tenggiri ke Singapura

Pihak Maqis merampas ikan kerapu dan tenggiri dari sebuah lori yang cuba dieksport ke Singapura tanpa permit di KSAB, Iskandar Puteri semalam.
Pihak Maqis merampas ikan kerapu dan tenggiri dari sebuah lori yang cuba dieksport ke Singapura tanpa permit di KSAB, Iskandar Puteri semalam.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan sebuah lori mengeksport ikan kerapu dan tenggiri tanpa permit ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, hasil pemeriksaan rapi pegawai penguat kuasa pada jam 1 pagi mendapati pemilik lori menyorokkan 56 kilogram (kg) ikan kerapu dan tenggiri seberat 225kg.

"Ikan-ikan tersebut yang tidak diikrarkan disorokkan di tempat menyimpan barang bersama-sama tong ikan lain yang mempunyai permit dengan berat keseluruhan sebanyak 281kg yang bernilai RM7,004.

"Kesemua dagangan tersebut ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pihak Maqis akan sentiasa memantau pergerakan keluar masuk keluaran pertanian supaya mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan: