Mukhriz ke Bangkok untuk lawatan kerja

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan lawatan kerja bagi memperkukuhkan hubungan dan meninjau peluang pelaburan serta perdagangan dua hala antara Kedah dan Thailand, selama tiga hari mulai hari ini (26 November).

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, delegasi kerajaan negeri itu turut disertai oleh Exco Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Tan Kon Yew dan Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Negeri, Ir Zamri Yusof.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Kedah, Abdul Rahman Abdullah, dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Kedah Incorporated, Dr Muhammad Mahadi Mohamad dan Pengarah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri, Muhamad Mahazi Ibrahim.

"Lawatan kerja selepas Bajet Kedah 2019, menyatakan kesungguhan kerajaan negeri untuk meneroka dan memperkasa potensi ekonomi Kedah dengan melebarkan jaringan perdagangan dan pelaburan.

"Khususnya dengan menarik modal asing ke kawasan perindustrian baharu Kota Perdana di Special Border Economic Zone dan Kedah Science and Technology Park di Bukit Kayu Hitam," katanya.

Kedah melihat prospek kerjasama ekonomi yang luas dengan Thailand, khususnya di daerah utara negeri ini dan Wilayah Selatan Thailand yang sedang membangun dengan pesat.

"Kerajaan negeri berminat menerokai pelbagai bidang dengan Thailand, terutamanya dalam perdagangan, jana tenaga, pelaburan industri berteknologi tinggi dan pertanian,"katanya.

Mukhriz dan rombongan dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Thailand, Dr Siri Jiraponghan.

Turut dijadualkan adalah pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif PTI Polene Power, Prachai Leoparat, Ketua Pegawai Eksekutif BJC/Big C, rangkaian peruncit besar di Thailand, Kun Aswin.

Artikel Berkaitan:


"Selain itu, delegasi kerajaan negeri juga akan mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand sebelum ke Rayong untuk berbincang dengan pengurusan kanan PTT Global Chemical, syarikat petroleum, tenaga dan petro-kimia.

"Hasil lawatan kerja ini diharap dapat membawa kemakmuran kepada rakyat kedah dan Thailand melalu perkongsian sumber, modal, teknologi dan tenaga kerja,"katanya.

Lawatan kerja tiga hari itu, menyusuli lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bangkok sebulan yang lalu.

Beliau ke negara jiran dalam usaha membangkitkan minat industri, pelabur dan kerajaan Thailand untuk meningkatkan usahasama dengan Malaysia, terutamanya bersama negeri-negeri sempadan, khususnya Kedah.