Titah Diraja tumpuan sambutan Hari Kebangsaan 2020

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah - Foto fail Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menjadi tumpuan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020 yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara Presint 1 di sini pada Isnin depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, majlis titah oleh Yang di-Pertuan Agong itu merupakan yang kedua dalam sejarah, sejak negara menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan pada 1957.

"Titah Diraja yang pertama oleh Yang di-Pertuan Agong keempat Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah berlangsung pada tarikh sama (31 Ogos) 50 tahun dahulu, sewaktu Rukun Negara diisytiharkan pada tahun 1970," katanya kepada pemberita selepas meninjau raptai Hari Kebangsaan 2020 di sini hari ini.

Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020, 'Malaysia Prihatin' dipilih bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan koronavirus (Covid-19).

Saifuddin berkata, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan untuk berangkat hadir pada sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan itu.

Mengenai persiapan sempena sambutan tersebut, Saifuddin berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan persiapan yang semakin lancar berbanding semalam.

“Insya-ALLAH kita berdoa agar semua acara yang dirancang akan berjalan seperti yang dijadualkan,” katanya.

Beliau berkata, sambutan pada tahun ini dilakukan serba ringkas dalam suasana norma baharu dengan mematuhi semua prosedur operasi standard pencegahan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, acara sambutan Hari Kebangsaan 2020 akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan. - Bernama