Mayat lelaki OKU ditemui terapung

Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 36 jam sebelum mayatnya ditemui dan puncanya akibat lemas.
Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 36 jam sebelum mayatnya ditemui dan puncanya akibat lemas.
A
A
A

PEKAN - Mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung di tepi Sungai Mat Dulang, Kampung Mengkasar di sini semalam.

Mangsa dikenali sebagai Mustaqim Haasan, 42, dari Kampung Ketapang Tengah ditemui kira-kira jam 11.30 pagi.

Identiti mangsa dikenal pasti berdasarkan pengecaman ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Yusof berkata, selepas menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan, anggotanya ke lokasi untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi anggota mendapati mayat seorang lelaki terapung tanpa pakaian.

"Mayat mangsa dibawa naik dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 36 jam sebelum mayatnya ditemui dan puncanya akibat lemas," katanya.

Mohd Razli berkata, kematian mangsa disahkan tidak melibatkan unsur jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Jenazah mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.03 tengah hari untuk bantuan mengambil mayat.

Menurutnya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan ke lokasi yang jaraknya kira-kira lima kilometer untuk operasi berkenaan yang turut dibantu pihak polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Mayat mangsa berjaya dibawa naik menggunakan tali dan pengusung sebelum diserahkan kepada polis.

"Operasi ditamatkan jam 12.47 tengah hari," katanya.