Karangkraf contoh terbaik syarikat percetakan

Razali (kiri) bersama wakil Ketengah melihat proses percetakan al-Quran.
Razali (kiri) bersama wakil Ketengah melihat proses percetakan al-Quran.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf yang terkenal sebagai syarikat percetakan dan penerbitan akhbar, majalah serta buku dilihat mampu menjadi contoh terbaik kepada mana-mana usahawan yang ingin menceburi industri percetakan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris berkata, kejayaan Karangkraf yang 100 peratus diusahakan oleh orang Melayu merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Bukan mudah untuk menerbitkan akhbar, majalah atau buku dan kemudian mencetaknya di kilang sendiri, Ultimate Print Sdn Bhd. Saya juga melihat al-Quran dicetak di kilang di sini. Selain itu, Karangkraf juga mempunyai kedai buku sendiri iaitu Karangkraf Mall yang menjual pelbagai bahan bacaan dicetak sendiri.

Dari kiri: Azmi, Farah, Razali dan Ahmad Fakaruddin bertukar-tukar cenderamata selepas sesi lawatan Ketengah ke Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
Dari kiri: Azmi, Farah, Razali dan Ahmad Fakaruddin bertukar-tukar cenderamata selepas sesi lawatan Ketengah ke Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.

“Saya tidak lihat perkara ini di tempat lain dan pencapaian sebegini yang diusahakan anak Melayu. Usaha ini sangat membanggakan dan wajar dipuji,” katanya selepas melakukan lawatan ke Kumpulan Karangkraf di sini semalam bagi melihat dengan lebih dekat operasi syarikat khususnya proses penerbitan dan percetakan akhbar Sinar Harian serta al-Quran.

Lawatan kali pertama itu diiringi empat lagi wakil dari Ketengah termasuk Timbalan Pengurus Besar Ketengah, Ahmad Fakaruddin Ahmad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Group Percetakan Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB), Akmal Eirfan Mohamed Fauzi; Pengarang Eksekutif (Cetak), Azmi Tarmizi dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Sinar Karangkraf, Hashim Anang.

Menerusi lawatan itu, Razali dibawa ke kilang percetakan untuk melihat bagaimana proses cetakan sebelum melawat ke Karangkraf Mall dan Studio F yang menjadi lokasi pentas Wacana Sinar dan Berani Semuka anjuran Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Akmal Eirfan (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Razali ketika sesi lawatan Ketengah ke kilang percetakan milik Kumpulan Karangkraf di Shah Alam semalam.
Akmal Eirfan (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Razali ketika sesi lawatan Ketengah ke kilang percetakan milik Kumpulan Karangkraf di Shah Alam semalam.

Dalam pada itu, Razali turut berharap Karangkraf khususnya Sinar Harian mampu mengekalkan identiti sebagai media yang neutral dalam melaporkan berita tanpa memihak kepada sesiapa.

“Kita sudah lihat banyak kejayaan Sinar Harian menganjurkan wacana dan terbaharu debat semuka yang berlangsung dalam keadaan ilmiah serta tidak emosi.

“Saya tak nampak agensi lain mampu melakukan seperti ini tetapi Sinar Harian berani mencuba. Saya harap apa yang dilakukan Sinar Harian selama ini serta konsep neutral itu akan berkekalan,” katanya.