Di sebalik kejayaan Perjanjian Damai Hatyai

Abdul Rahim Noor menempa sejarah kerana berjaya membawa PKM ke meja rundingan.
Abdul Rahim Noor menempa sejarah kerana berjaya membawa PKM ke meja rundingan.
A
A
A

PERJANJIAN Damai Hatyai merupakan perjanjian bersejarah yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Setelah lebih 40 tahun, negara ini dibelenggu dengan ancaman komunis, akhirnya perjanjian itu membawa kepada pembubaran dan perletakan senjata PKM.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menempa sejarah kerana berjaya membawa PKM ke meja rundingan.

Abdul Rahim, 77, mengimbau kembali penglibatannya secara langsung dalam Perjanjian Damai Hatyai ketika menjadi Ketua Pengarah Cawangan Khas pada masa itu.

Abdul Rahim - FOTO ROSLI TALIB
Abdul Rahim - FOTO ROSLI TALIB

"Saya telah mengadakan mesyuarat mengenai perancangan Perjanjian Damai Hatyai itu bersama rakan-rakan di Cawangan Khas, ada pegawai yang bersetuju, malah ada yang membantah cadangan itu," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di kediamannya baru-baru ini.

Abdul Rahim berkata sebelum Perjanjian Damai, PKM telah berundur ke sempadan negara untuk membina semula kekuatan dengan merekrut ahli baharu.

"Mereka memaksa penduduk di selatan Thailand khususnya penoreh getah dan tauke ladang getah untuk membayar wang kepada komunis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, manakala tali barut PKM yang bergerak secara 'underground' giat melaksanakan propaganda di radio, sekolah dan kesatuan sekerja di negara ini.

"Propaganda itu juga adalah untuk mencari ahli baharu PKM, selain memburuk-burukan sistem yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Abdul Rahim (tengah) berbincang dengan Chang Lin Yun (orang kanan Chin Peng). - Foto sumber internet.
Abdul Rahim (tengah) berbincang dengan Chang Lin Yun (orang kanan Chin Peng). - Foto sumber internet.

Menurutnya, tindakan PKM itu adalah bertujuan untuk menyusup semula ke negara ini.

"Pelan mereka berupaya menggerakan semula gerakan bersenjata pada 1982 atau 1983.

"Namun, kejatuhan komunisme di rantau ini pada 1980-an merupakan satu peluang untuk mengadakan rundingan damai yang baru," katanya.

Rundingan Baling 1955 gagal

Abdul Rahim berkata, beliau dapat menyakinkan kerajaan pada masa itu untuk mengadakan perbincangan dengan pihak komunis, selepas kegagalan rundingan Baling pada 1955.

"Pandangan saya, rundingan Baling itu gagal kerana ada tuntutan di mana PKM mahu diiktiraf, selain ahli PKM yang ditangkap dibebaskan," katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya telah melakukan lima sesi rundingan dengan komunis pada akhir tahun 1987 dan pada awal tahun 1988 di Pulau Phuket, Thailand.

"Rundingan damai itu diwakili Cawangan Khas yang diketuai saya sendiri, manakala wakil PKM ialah Chang Ling Yun, Rashid Maidin, Ah Yen mewakili Chin Peng dan Ah Sek.

"Di samping itu, Timbalan Komander Wilayah 4, Angkatan Tentera Thailand yang berpangkalan di Selatan Thai, Major Jeneral Kitty Ratanachaya, turut hadir sebagai mewakili kerajaan Thailand," katanya.

Chin Peng, Abdullah CD dan Rashid Maidin semasa perjanjian damai ditandatangani pada tahun 1989 di Hatyai.
Chin Peng, Abdullah CD dan Rashid Maidin semasa perjanjian damai ditandatangani pada tahun 1989 di Hatyai.

Menurutnya, tuntutan PKM pada ketika itu masih sama seperti rundingan Baling.

"Saya telah minta mereka tandatangan Perjanjian Damai kerana syarat-syarat perjanjian itu juga membolehkan semua pemimpin PKM untuk kembali ke tanah air, termasuk Chin Peng," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, Chin Peng dan beberapa pemimpin kanan PKM pada masa itu membuat keputusan untuk tidak pulang.

"Ternyata tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran untuk pulang ke Malaysia, malah ramai yang memilih untuk terus tinggal di Thailand," katanya.

Abdul Rahim bertemu dengan Chin Peng di Thailand. - Foto sumber internet
Abdul Rahim bertemu dengan Chin Peng di Thailand. - Foto sumber internet

Abdul Rahim berkata, sebahagian anggota komunis yang pulang kena negara ini terdiri daripada bekas pelajar.

"Saya tidak lagi dengar mereka yang pulang ke negara ini mahu menubuhkan parti komunis.

"Mereka pun tahu perjuangan mereka sudah tidak dapat sambutan, malah Ideologi asal komunis sudah tidak laku lagi," katanya.

Perjanjian Damai Hatyai.
Perjanjian Damai Hatyai.

Antara kandungan utama Perjanjian Damai Hatyai ialah:

1. Parti Komunis Malaya (PKM) berjanji untuk menamatkan perjuangan bersenjata mereka.

2. PKM dibubarkan.

3. Senjata api hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia atau Thailand atau dimusnahkan di hadapan pihak keselamatan.

4. Chin Peng selaku wakil ahi PKM berikrar taat setia kepada Yang diPertuan Agung Malaysia.

5. Ahli PKM akan mematuhi undang-undang negara Malaysia.

6. Artikel 3 perjanjian menetapkan bahawa Kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota PKM yang dilucutkan senjata untuk menetap di Malaysia sekiranya mereka mahu.

7. Artikel 3.1 menetapkan bekas anggota PKM yang memang berasal dari Malaysia akan dibenarkan menetap di Malaysia mengikut undang-undang negara.

8. Artikel 4 perjanjian menetapkan bahawa kerajaan Malaysia akan membantu bekas bekas anggota PKM untuk memulakan hidup baru di Malaysia. - Sumber Wikipedia

Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Polis Negara

Pelantikan Abdul Rahim sebagai Ketua Polis Negara kelima dilihat sebagai satu kesinambungan wawasan ke arah mewujudkan profesionalisme dan era baru dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau terkenal dengan sikap tegas tetapi mesra dan prihatin terhadap keperluan kebajikan pegawai dan anggota PDRM.

Abdul Rahim telah memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi meningkatkan imej di samping memperkasakan PDRM.

Tindakan beliau yang pertama, iaitu seminggu selepas pelantikannya ialah memperkenalkan pemakaian uniform baru berwarna biru gelap (dark blue) yang sesuai dan memenuhi aspirasi pasukan polis.

Beliau juga menguatkuasakan semula pengibaran bendera asal PDRM yang diberi nama rasmi Sang Saka Biru kerana ia sinonim dengan fungsi tugas pasukan polis.

Beliau juga memperkenalkan lagu Sang Saka Biru dan beliau turut memberi ilham lirik lagu tersebut.

Beliau turut memperkenalkan konsep ‘Cepat dan Betul’ bagi proses transformasi budaya kerja ke arah prestasi yang lebih cemerlang.

Konsep itu diterapkan sebagai salah satu elemen pengurusan kualiti yang berorientasikan khidmat kepada orang ramai.

Abdul Rahim - FOTO ROSLI TALIB
Abdul Rahim - FOTO ROSLI TALIB

Abdul Rahim menubuhkan sebuah maktab yang dikenali dengan nama Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur (yang pada cadangan asalnya ialah Maktab Polis Bersepadu) di Cheras Kuala Lumpur untuk memenuhi segala aspek latihan bagi pegawai kanan polis.

Penubuhan maktab ini bertujuan menggabungkan kursus yang selama ini dijalankan oleh Maktab Polis Kuala Kubu Baru (KKB), Sekolah Jabatan Siasatan Jenayah dan Sekolah Cawangan Khas di Pulapol, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Maktab KKB telah dijadikan pusat latihan bagi Anggota Polis Pangkat Rendah.

Beliau turut memodenkan pasukan polis dengan memperkenalkan dan mengaplikasikan teknologi terkini dengan penambahan peralatan seperti kenderaan, komputer dan alat teknologi.

Pengenalan teknologi itu, PDRM berupaya menghadapi segala cabaran dan ancaman serta menaikkan imej agensi pihak berkuasa itu di peringkat antarabangsa.

Di akhir pentadbiran beliau sebagai Ketua Polis Negara, beliau terpaksa menempuh laluan sukar apabila PDRM menghadapi cabaran dari dua penjuru iaitu menjaga keamanan dan keselamatan negara ketika negara menghadapi kegawatan ekonomi dan juga wujudnya ketegangan politik.

Biodata

Nama: Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor

Tarikh Lahir: 6 Julai 1943 (77 tahun)

Tempat lahir: Serkam, Melaka

Antara jawatan yang pernah disandang:

Ketua Polis Negara yang kelima - 16 Januari 1994 sehingga 7 Januari 1999

Timbalan Ketua Polis Negara - 14 Jun 1989

Pesuruhjaya Polis Sabah - 27 November 1985

Ketua Polis Negeri Selangor - 21 Julai 1984

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman - 20 Januari 1986

Pegawai Turus Cawangan Khas Bukit Aman - 3 Januari 1984

Penolong Pengarah Pentadbiran/Pengurusan - 1 September 1981

Komandan Latihan/Maktab Polis, Kuala Kubu Bharu - 18 Januari 1979

Ketua Polis Daerah Pentadbiran Melaka Tengah - 28 Disember 1977

PP Tatatertib Pentadbiran Bukit Aman - 18 April 1977

Superintendan Perjawatan Pentadbiran Bukit Aman - 1 Oktober 1975

TPP Perkhidmatan Pentadbiran Bukit Aman - 1 Disember 1973

Pegawai Personel Cawangan Pentadbiran Bukit Aman - 9 Februari 1970