Tengku Zafrul bagi bola tanggung!

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

AWANG memang dari dulu tak setuju dengan projek rundingan terus (direct negotiation). Cara itu boleh timbulkan masalah ketelusan. Tapi tak semua projek boleh diberi ikut tender terbuka.

Ada kalanya kepakaran tertentu diperlukan atau syarikat berkenaan memang satu-satunya yang menawarkan barangan atau perkhidmatan tertentu.

Awang terkejut juga dengan pendedahan Menteri Kewangan baharu, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Awang suka sangat pendedahan itu. Cuma mungkin Tengku Zafrul terlupa yang beliau menyusahkan bosnya sendiri, Tan Sri Perdana Menteri.

Pertama, orang nak tahu berapa banyak projek era BN yang ditawar secara rundingan terus.

Menurut Lim Guan Eng, mantan Menteri Kewangan, banyak projek rundingan terus era PH asal dari era BN.

Kedua, berapa banyak projek rundingan terus oleh Tan Sri Perdana Menteri semasa jadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dulu? Orang nak tahu juga.

Ketiga, rakyat nak tahu, dalam situasi wabak Covid-19, berapa banyak barangan dan perkhidmatan yang kerajaan PN guna kaedah rundingan terus?

Kita faham, oleh sebab keperluan mendesak hal itu tak dapat dielak. Tapi kena siasat syarikat mana? Kroni siapa?

Artikel Berkaitan:

Nasihat Awang, tak usah buka pekung di dada. Dan nasihat pada Menteri Kewangan, jangan bagi bola tanggung kat musuh!

Apa halnya Tuk Seri Azmin?

Awang rasa terkejut juga dengan beberapa kenyataan Datuk Seri Azmin Ali semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim, Perak. Rakyat Malaysia pun terkejut sama. Terutamanya kecaman beliau terhadap tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan yang katanya gagal.

Kata beliau, PH kalau masih memerintah semasa era Covid-19, entah berapa banyak rakyat terkorban.

Tuk Seri Azmin bukan orang baharu dalam kontroversi. Dia dulu kaki kutuk Tun mantan Perdana Menteri.

Apa yang dia tak cakap pasal negarawan kita? Semasa mempertahankan Tuk Seri Anwar, tak ada perkataan yang tak terkeluar dari mulutnya untuk mengecam Tun.

Tiba-tiba bila duduk dalam Kabinet Tun, dia puji Tun. Dalam satu wawancara, dia kata dia tak pernah buat character assassination terhadap Tun. Dia hormat kepimpinan Tun dan macam-macam lagi. Tak lama lepas itu, dia lompat ke parti lain. Dia tikam Tun.

Apabila isu projek rundingan terus berbangkit, dia kata ada projek yang lulus tak dibawa ke Kabinet. Orang yang pernah berada dalam Kabinet Tun mantan Perdana Menteri pun naik bingung sama. Apa hal pulak Tuk Seri Azmin cakap gitu?

Macam-macamlah serangan baharu ke atas Tuk Seri Azmin.

Tuk Seri Azmin kenalah lebih berhati-hati buat kenyataan. Janganlah dah tak bersama PH, apa sahaja yang PH buat semua tak betul.

Jika tak bersama PN nanti bagaimana pula agaknya sikap beliau?