X

Kindly register in order to view this article
!

SAPP diterima menjadi ahli PN

SAPP
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengesahkan parti itu telah diterima menjadi ahli Perikatan Nasional (PN).

SAPP dalam kenyataan hari ini berkata, Majlis Tertinggi parti mengucapkan terima kasih kepada PN yang menerima SAPP sebagai ahli gabungan itu dan Majlis Tertinggi dalam mesyuaratnya pada 9 Ogos membuat keputusan sebulat suara untuk parti menyertai PN.

"Ini kerana SAPP melihat betapa tenang dan efektifnya kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membawa kembali keharmonian dan kedaulatan undang-undang dalam pentadbiran Malaysia. SAPP percaya PN dapat menyelamatkan negeri Sabah dan Malaysia daripada tuntutan Filipina/Sulu ke atas Sabah.

"Kepercayaan ini telah terbentuk malah sebelum berlakunya kemelut politik terbaru berhubung isu dimainkan ahli politik Filipina dengan cara memasukkan peta Sabah dalam pasport Filipina. SAPP mengiktiraf dasar-dasar jelas ditunjukkan kerajaan PN Persekutuan dalam memerangi pendatang haram, terutamanya di Sabah.

“SAPP juga melihat pematuhan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh dicapai seperti diumumkan Muhyiddin pada Mac tahun ini semasa beliau mengumumkan barisan baharu Kabinet Persekutuan dengan perdana menteri menugaskan seorang menteri persekutuan, yang berasal dari Sabah, bertanggungjawab bagi MA63,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, SAPP juga tahu bahawa kerajaan PN di peringkat Persekutuan dan negeri, mampu memulihkan ekonomi Sabah demi kemakmuran dan kebahagiaan rakyat Sabah.

“Selepas 12 tahun menjadi parti pembangkang di peringkat nasional dan negeri, esok merupakan permulaan baharu bagi SAPP dan ahli setia yang telah berjuang mendahului kepentingan diri bagi mendapatkan hak-hak Sabah di Malaysia.

"Sebagai ahli PN, ini akan memberikan obligasi kepada SAPP untuk bekerjasama dengan parti-parti lain di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB (Yang Amat Berhormat) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membangunkan masyarakat yang lebih progresif," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!