'Buka semula pintu sempadan negara perkara terakhir'

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembukaan semula pintu sempadan negara kepada pelancong asing adalah perkara terakhir yang dilihat kerajaan untuk terus mengekang penularan wabak Covid-19 dan kes baharu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini sedang meneliti rayuan untuk kemasukan tukang masak dari Thailand dan pembantu rumah dari Indonesia.

"Bagaimanapun, perkara itu ditangguh buat sementara kerana situasi terkini Covid-19 yang banyak melibatkan kes import hingga mencetuskan penularan baharu dalam negara.

"Keputusan Mesyuarat Khas Menteri semalam kita akan lebih tegas dari segi pembukaan sempadan negara sebab banyak negara yang dulu mula santai tetapi dah tutup balik kerana kes import yang berlaku," katanya.

Beliau mengulas gesaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes supaya pemimpin negara ASEAN yang berstatus hijau menimbang pembukaan semula sempadan negara.

Ismail Sabri yang ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 40/2020 di sini hari ini berkata setakat hari ini, tiada negara yang boleh dianggap zon hijau.

Ismail Sabri (kanan) menyampaikan Sijil Diploma kepada Leftenan Kolonel Suhaila Dahlan(kiri) dari Rejimen Semboyan Diraja pada Majlis Graduasi Kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 40/2020 di Auditorium Utama, Puspahanas hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kanan) menyampaikan Sijil Diploma kepada Leftenan Kolonel Suhaila Dahlan(kiri) dari Rejimen Semboyan Diraja pada Majlis Graduasi Kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 40/2020 di Auditorium Utama, Puspahanas hari ini. - Foto Bernama

Katanya, kerajaan sebelum ini mengenal pasti enam negara zon hijau Covid-19 bagi pembukaan semula sempadan negara secara bersyarat iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan namun ia akan dilihat semula kerana beberapa negara termasuk Korea Selatan dan Australia juga menghadapi peningkatan kes Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Walaupun rakyat Malaysia dan Singapura kembali rentas sempadan baru-baru ini namun kategori itu terhad kepada rakyat Malaysia yang terkandas di republik itu dan urusan perniagaan, katanya.

Bagi kira-kira 250,000 pekerja rakyat Malaysia yang berulang-alik secara harian ke Singapura, katanya isu berkenaan masih dibincangkan dan belum dibenarkan kerajaan Singapura. - Bernama