Ilustrasi menyatukan netizen

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ilustrator tampil kreatif dengan mengajak rakyat Malaysia melukis gambar yang mengingatkan mereka mengenai Malaysia bagi memeriahkan Hari Kemerdekaan ke-63.

Ann Jaafar, 28, memberitahu, projek tersebut bermula 24 Ogos menerusi sebuah templat kosong bertajuk 'Draw things that are so Malaysian to you' yang dimuat naik di Twitter sehingga menarik perhatian ramai.

"Pada mulanya, sekadar suka-suka tapi ramai netizen menunjukkan kreativiti mereka dengan melukis makanan, pakaian dan perkara yang mengingatkan mereka mengenai Malaysia," katanya kepada Sinar Harian.

Ann juga tidak menyangka perkongsian 'Draw things that are so Malaysian to you' itu mendapat sambutan luar biasa daripada netizen.

No Image Caption

"Sebagai anak seni, saya percaya bahawa seni dapat menyatukan masyarakat dan saya gembira kerana sehingga sekarang ramai masih melukis gambar menggunakan templat di profil saya.

"Saya memang sangat gembira sebab semua beri respon positif dan saya suka melihat lukisan netizen. Semua boleh faham apa maksud lukisan itu, walau simple tetapi ia bermakna buat kita.

"Apabila melihat pelbagai lukisan, sukar untuk memilih yang terbaik kerana semua itu sudah cukup bernilai buat saya dan kita mampu tersenyum ketika melihat ilustrasi itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menyentuh mengenai maksud Kemerdekaan, Ann berpendapat merdeka bukan sahaja mengenai kebebasan daripada penjajah tetapi lebih kepada diri sendiri.

"Bebaskan diri dengan perkara negatif dan mulakan kehidupan lebih baik serta berubah menjadi insan berguna.

"Malaysia rumah kita, jadi tentunya negara Malaysia ini amat bermakna bagi saya dan penduduknya. Kita akan rindu negara kita terutama makanan, keluarga atau perkara yang boleh dilakukan di Malaysia," katanya.

Sempena Hari Kemerdekaan yang bakal menjelang tiba nanti, Ann menyarankan masyarakat terus menyuburkan semangat kesatuan dengan mengekalkan Malaysia prihatin dan Malaysia bersama.

"Walau kita memiliki pelbagai kaum dan agama tetapi ada perkara yang boleh menyatukan kita semua sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, sebilangan besar warganet mengimbau kembali memori ketika mereka di bangku sekolah dengan melukis gambar permainan seperti baling selipar, bermain tudung botol dan bermain guli yang disifatkan jarang ditemui pada zaman kini.