Mesyuarat berkaitan minyak sawit minggu depan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Industri Utama akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk menentukan hala tuju industri minyak sawit susulan Kesatuan Eropah melarang penggunaan komoditi itu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, mesyuarat itu akan melibatkan Kementerian Industri Utama serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Kementerian Luar serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah baru sahaja pulang dari Eropah. Kita akan bertemu beliau minggu depan,” katanya kepada pemberita semasa acara ‘An Abundant CNY Harvest Cooking Show’ anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Media Prima Bhd di sini, hari ini sempena kempen Sayangi Minyak Sawitku.

Hadir sama pada acara tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Saifuddin dan rakan sejawatannya dari beberapa negara EU dan Parlimen blok itu membincangkan beberapa isu dua hala, dengan agenda utama Malaysia adalah minyak sawit.

Mesyuarat berasingan dengan menteri luar Hungary, Itali, Luxembourg, Romania, Sepanyol dan EU; serta Jawatankuasa Luar Negeri dan dua naib presiden Parlimen Eropah itu diadakan semasa lawatan kerja beliau ke Brussels, Belgium pada 21 hingga 23 Januari lepas bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN-EU ke-22.

Sementara itu, Teresa juga berkata, kementerian berkenaan sedang mengadakan perbincangan dalaman untuk mengetatkan pengedaran tembakau menerusi pengenaan lesen kepada peruncit tembakau, seiring dengan langkah larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan berkuat kuasa tahun ini.

“Kita akan membuat pengumuman apabila keputusan telah dicapai,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: