Minit mesyuarat tiada ke?

A
A
A

BEBERAPA hari lepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberitahu di Dewan Rakyat yang mulia berkenaan senarai projek rundingan terus yang diluluskan pada zaman Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ada 101 projek dan bernilai RM6.61 bilion.

Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula menjelaskan, semua projek tersebut telah pun dibincangkan dan diluluskan oleh Kabinet.

Pada masa yang sama, bekas Menteri Kabinet PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikannya.

“Mana ada bincang di Kabinet dan diluluskan.”

Kenyataan yang terbaru Guan Eng menyatakan bahawa projek rundingan terus di bawah beliau hanya 0.07 peratus bersamaan RM352 juta sahaja. Selebihnya diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Saya tertanya-tanya juga semasa mesyuarat atau perbincangan di Kabinet untuk mendapat kelulusan atau apa-apa sahaja, tidak perlu mengambil senarai kedatangan ke? Ataupun mencatat minit mesyuarat, ataupun lagi mungkin, berswafoto terlebih dahulu sebelum mesyuarat, semasa mesyuarat dan selepas mesyuarat?

Bukan ke senang kalau ada semua itu dan apabila ada orang yang terlibat mengatakan tidak ada apa-apa perbincangan dan kelulusan maka tunjuk sahaja dokumen-dokumen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ataupun tunjuk sahaja gambar berswafoto. Kalau tidak ada, tidak tahulah saya pula kenapa.

Sepatutnya setiap mesyuarat ada minit-minit tersebut. Sebelum ini ada juga berlaku tentang isu percanggahan begini. Contohnya isu pembalakan negeri Kedah, apabila Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu perlu membayar pampasan kepada syarikat balak jika projek tidak jadi.

Maka mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir pula memberitahu, “Mana ada. Dah dibincangkan pun sebelum ini tidak perlu.”

Saya pun baru-baru ini ada juga bermesyuarat tentang projek terowong di Pulau Pinang. Mesyuarat tersebut bertujuan untuk membentangkan kajian impak trafik sehingga 2040 jika projek terowong siap nanti. Bila hendak mula, tidaklah saya tahu. Mungkin bak kata pepatah, menunggu ayam jantan bertelur agaknya.

Ketika hadir, saya disuruh untuk mengisi kedatangan dan pada masa yang sama, sempatlah juga saya berswafoto. Bukan apa, sebagai bukti saya hadir mesyuarat. Nanti bila bos tanya saya ada di mana, saya hanya perlu WhatsApp sahaja gambar sedang bermesyuarat.

Cuma dalam mesyuarat tersebut, mantan Menteri Kewangan tidaklah hadir. Kalau hadir bolehlah saya bertanya kepada beliau, tentang ada atau tidak minit mesyuarat, senarai kedatangan atau gambar berswafoto ketika mesyuarat Kabinet tersebut.

“Ada minit pun tak guna bos. Boleh ubah sahaja kalau perlu,” begitu pula kata seorang kawan saya ketika kami sedang berborak.

Ingin tahu

Tetapi sekurang-kurangnya dokumen tersebut wujud. Nanti kesahihannya boleh dibuat siasatan. Paling utama rakyat jelata juga ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku berkenaan perbelanjaan negara.

Tetapi saya paling tertarik dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan yang seolah-olah cuba menutup lutut tetapi takut pusat terbuka. Katanya, projek rundingan terus sebenarnya bukan masalah pun, tetapi yang menjadi masalah adalah kerajaan terdahulu tidak berkata benar dan menyalahi manifestonya sendiri.

Saya teringat akan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa manifesto bukan kitab suci. Mungkin, alang-alang menyeluk pekasam, elok sekiranya Menteri Kewangan mendedahkan senarai rundingan terus zaman BN pula. Lagipun, seperti yang dikata, projek rundingan terus ini tidaklah menyalahi prosedur.

Kemudian dalam masa 22 bulan lagi, senaraikan pula projek rundingan terus kerajaan Perikatan Nasional. Bak kata pepatah lagi, bila dibuka tempayan budu, barulah tahu. Bila dah tahu, tidak perlu malu, buat sahaja sidang media mohon maaf. Kemudian, sedekah gaji empat bulan, selesai!

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya