PKPP dilanjutkan sehingga 31 Disember

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berakhir pada 31 Ogos ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui lanjutan itu, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan.

"Saya sedar berdasarkan perkembangan di peringkat global kita akan melalui satu tempoh yang agak lebih lama sebelum negara dapat bebas sepenuhnya daripada ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

"Buat masa ini keadaan terkawal namun sekiranya berlaku peningkatan kes jangkitan di lokaliti tertentu, kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara bersasar seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar seperti sebelum ini," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, melihat kepada kes di luar negara, virus Covid-19 bukan sahaja masih aktif malah menular cepat pada skala besar.

"Negara masih berdepan cabaran getir dalam menangani penularan Covid-19 dengan mengambil kira virus tersebut yang masih menular secara aktif di seluruh dunia. Saya sedar bahawa kita tidak boleh mengambil mudah risiko penularan virus super spreader. Oleh itu, peraturan kuarantin yang ketat di tempat-tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan.

"Tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan ini dan individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal. Saya juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang. Walaupun begitu perkara ini perlu diperhalusi dan Akta 342 itu perlu dipinda terlebih dahulu," katanya.

Muhyiddin juga yakin kehidupan rakyat Malaysia tidak akan terjejas kerana aktiviti harian boleh dilaksanakan seperti biasa dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan kepada SOP.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting ialah kita perlu terus membiasakan diri dengan pemakaian pelitup muka, membasuh tangan, sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengelakkan berada di tempat-tempat yang sesak.

"Saya percaya semua ini telah pun saudara-saudari lakukan selama ini sehingga kita berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 didalam masyarakat kita," katanya.

Jelasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang berunding dengan pihak pengilang dan pembekal untuk menurunkan harga pelitup muka.

"Memandangkan pelitup muka satu barangan keperluan yang saudara-saudari gunakan hampir setiap masa, pihak KPDNHEP sedang berunding dengan pihak pengilang dan pembekal untuk menurunkan harga pelitup muka.

"Insya-ALLAH, jika rundingan ini berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan ini akan meringankan sedikit beban saudara-saudari sekalian," katanya.

Tambahnya, pada masa ini hampir semua sektor telah pun dibenarkan beroperasi kecuali sebilangan kecil yang masih tidak dibenarkan seperti kelab malam dan pusat hiburan.

"Ini ialah tempat di mana norma baharu agak sukar untuk diamalkan. Kemasukan pelancong asing juga masih tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan kes-kes import ke dalam negara. Aktiviti-aktiviti sukan dibenarkan tetapi tanpa penglibatan peserta antarabangsa dan penonton," katanya

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, selaras dengan pelanjutan tempoh PKPP, Tabung Covid-19 yang diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember nanti.

"Sehubungan itu, pihak-pihak yang ingin menyumbang kepada tabung ini bolehlah berbuat demikian. Sumbangan kepada tabung ini akan digunakan untuk membantu mangsa Covid-19 dan menyediakan keperluan-keperluan untuk membendung wabak ini.

"Dengan semangat sambutan Hari Kebangsaan ke-63 yang bertemakan Malaysia Prihatin, saya menyeru saudara dan saudari semua supaya sentiasa prihatin terhadap tanggungjawab kita untuk membendung penularan wabak Covid-19.

"Kita semua merupakan frontliners (barisan hadapan) yang berada di barisan paling hadapan untuk memerangi dan mencegah wabak ini. Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam mencegah wabak Covid-19, negara kita akan berjaya untuk bebas daripada wabak ini dengan lebih cepat," katanya.