TNB rugi RM2.5 juta, premis kripto curi elektrik

Nazlin Alim (kanan) dan kakitangan TNB melakukan pemeriksaan di sebuah premis menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital yang melakukan pendawaian haram di Jalan Sentral, Iskandar Puteri hari ini.
Nazlin Alim (kanan) dan kakitangan TNB melakukan pemeriksaan di sebuah premis menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital yang melakukan pendawaian haram di Jalan Sentral, Iskandar Puteri hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dua premis dipercayai menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital atau kripto yang mencuri bekalan elektrik dianggarkan berjumlah RM2.5 juta sejak tiga tahun lalu diserbu Suruhanjaya Tenaga hari ini.

Serbuan pada jam 9.30 pagi itu dilakukan dalam satu operasi bersepadu bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIK) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Suruhanjaya Tenaga Wilayah Johor, Nazlin Alim Sadikhi berkata, TNB kerugian RM80,000 sebulan akibat kecurian elektrik daripada kedua-dua premis itu.

"Kami mendapati terdapat pendawaian haram dipasang di dua premis itu supaya elektrik dibekalkan terus dan bukan melalui meter TNB.

"Premis pertama dipercayai beroperasi selama tiga tahun dan TNB kerugian RM50,00 sebulan, manakala premis kedua beroperasi kira-kira dua tahun dan TNB kerugian RM30,000 sebulan," katanya pada sidang media selepas mengadakan Ops Bersepadu Kecurangan Elektrik/Curi Elektrik Premis sekitar kawasan pentadbiran MBIP di sini hari ini.

Seorang petugas TNB melakukan pemeriksaan di sebuah premis menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital yang melakukan pendawaian haram di Jalan Sentral, Iskandar Puteri hari ini.
Seorang petugas TNB melakukan pemeriksaan di sebuah premis menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital yang melakukan pendawaian haram di Jalan Sentral, Iskandar Puteri hari ini.

Nazlin berkata, bil elektrik untuk kedua-dua premis berkenaan hanya sekitar RM30 hingga RM60 sebulan.

Menurut beliau, pihaknya turut menemui kira-kira 100 mesin yang digunakan untuk kegiatan tersebut dalam premis pertama, manakala 48 lagi dalam premis kedua.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mesin berkenaan beroperasi 24 jam sehari dan menggunakan tenaga elektrik yang tinggi.

Katanya, Suruhanjaya Tenaga akan melakukan siasatan di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum hingga RM1 juta dan 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Jurutera South Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB, Mohd Satari Mohamad berkata, sebanyak 288 premis yang menjalankan kegiatan perlombongan mata wang kripto diserbu di negeri ini sejak 2018, termasuk 90 premis pada tahun ini.

Dalam kebanyakan kes katanya, pemilik premis berkenaan bersekongkol dengan pengusaha kegiatan tersebut dan mereka mempunyai kaedah yang sama dengan memasang pendawaian haram secara terus serta tidak melalui meter TNB.