Ku Li gesa menteri UMNO undur segera dari Kabinet

Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengeluarkan kenyataan menggemparkan dengan meminta ahli-ahli UMNO yang menganggotai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, pengumuman Bersatu dengan sendirinya telah menghilangkan kelayakan parti tersebut sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung oleh Muafakat Nasional.

"Kita UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional, hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

"Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli UMNO yang menganggotai Kabinet kerajaan sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan PN sekarang ditubuhkan pada 29 Februari lalu atas dasar sokongan beberapa parti politik iaitu Bersatu, UMNO dan Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), MCA dan MIC.

Penubuhan kerajaan itu berlaku apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Bersatu dan Parti Amanah Negara (Amanah) hilang sokongan suara dalam Parlimen berikutan tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac dan membentuk kabinetnya pada 10 Mac.

Artikel Berkaitan:

Bersatu diterima masuk Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan Pas pada 13 Ogos dan Muhyiddin menyatakan persetujuan menyertai gabungan itu pada 18 Ogos.

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Tengku Razaleigh berkata, ahli-ahli UMNO berkenaan perlu bertindak cepat bagi membolehkan UMNO menumpukan perhatiannya kepada penyelesaian masalah golongan muda mencari pekerjaan dalam keadaan negara menghadapi pandemik Covid-19.

Seramai sembilan ahli Parlimen dari UMNO berada dalam Kabinet kerajaan PN sekarang iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut menjadi anggota pentadbiran kerajaan ialah tujuh ahli Parlimen dari UMNO iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Mutalib; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainal Abidin. - Bernama