Rukun Negara kurang diterap dalam agenda perpaduan nasional

Sultan Selangor mahu lima prinsip Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970 bukan sahaja dihafal, tetapi dihayati, diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. - Foto ihsan FB Selangor Royal Office
Sultan Selangor mahu lima prinsip Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970 bukan sahaja dihafal, tetapi dihayati, diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. - Foto ihsan FB Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpandangan masih kurang penghargaan dan apresiasi terhadap Rukun Negara diterapkan dalam agenda perpaduan nasional.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, baginda bertitah, ia berpunca daripada kelemahan segelintir rakyat mendukung keluhuran Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan, selain kegagalan menghormati kedaulatan institusi raja di negara ini.

Menerusi kenyataan dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office itu, baginda turut berpandangan kurangnya penekanan terhadap Rukun Negara sejak tahun 1980-an hingga kini menyebabkan masih ada rakyat tidak mengamalkan asas-asas yang didukung menerusi Rukun Negara.

Bagaimanapun, baginda gembira dan sukacita melihat perkembangan semasa di mana ada usaha serius untuk menerapkan prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah memperteguhkan keharmonian sesama kaum di Malaysia.

“Baginda mahu lima prinsip Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970 itu bukan sahaja dihafal tetapi harus dihayati, diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

“Baginda menyeru rakyat Malaysia agar mengambil tauladan daripada kaedah penghayatan dan pemahaman rakyat Indonesia terhadap prinsip-prinsip nasional mereka menerusi ‘Pancasila’ yang terbukti berkesan dan diamalkan secara serius dalam memupuk semangat patriotisme," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan mengutus ucapan Hari Kemerdekaan ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sempena sambutan kali ini, baginda percaya, keteguhan perpaduan sedia ada mampu diperkukuhkan sekiranya setiap rakyat memahami dengan sepenuh hati sejarah dan perjuangan bangsa terutamanya prinsip digariskan dalam Rukun Negara.

Artikel Berkaitan:

“Sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun pengisytiharan Rukun Negara sebagai tunjang perpaduan Malaysia, baginda mahu Rukun Negara diperkasakan semula ke arah membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani,” menurut kenyataan itu.