'Amanah nak sedapkan hati sendiri'

Hashim menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Kompleks Tarbiah Riyadhus Solehen Pondok Muallim hari ini.
Hashim menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Kompleks Tarbiah Riyadhus Solehen Pondok Muallim hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yakin semua ahli dan penyokong parti itu patuh kepada keputusan Pas untuk bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, ia dibuktikan melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini ahli Pas memberikan undi untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN).

"Kalau ada yang kata ada ahli Pas ini tidak gembira dan tak mahu undi calon yang disokong Pas, itu adalah andaian sahaja.

"Bukan kita tak kenal mereka (yang mendakwa), cara mereka itu cuma nak bagi sedap hati sendiri sahaja, apabila kita lihat hasil pilihan raya, kita boleh tahu mana yang betul dan mana yang tidak betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Tarbiah Riyadhus Solehen Pondok Muallim di sini.

Hadir sama, calon BN bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) bahawa ada kalangan ahli tegar Pas tidak akan mengundi calon BN pada PRK ini kerana tidak gembira dengan perkembangan politik parti itu yang kini bersama UMNO dan BN.

Antara pemimpin yang menyatakan hal itu ialah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah yakin ahli Pas tak undi BN di PRK Slim

Mengulas lanjut, Hashim berkata, ahli Pas selama ini berpegang kepada prinsip wala' iaitu setia kepada parti dan kepimpinannya walaupun perkara itu mungkin bercanggah daripada apa mereka mahukan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila kita membuat keputusan kembali dengan UMNO melalui MN, saya sendiri menyaksikan ramai orang menangis (gembira), ertinya ramai yang berkehendakkan kesatuan itu.

"Saya doakan, biarlah kita melakukan dengan penuh ikhlas. Perkara kecil macam pembahagian kerusi dan penentuan calon itu boleh selesai dengan mudah.

"Tetapi persoalan pokoknya apabila tiba pilihan raya umum nanti ialah satu lawan satu, itu yang paling penting kita laksanakan dan itulah juga harapan Pas," katanya.