Kedah idam gelaran juara Liga Super

Mukhriz (enam, kiri) hadir merasmikan pelancaran jersi dan memperkenalkan penaja KFA musim 2019 di Stadium Darul Aman, petang tadi. - Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
Mukhriz (enam, kiri) hadir merasmikan pelancaran jersi dan memperkenalkan penaja KFA musim 2019 di Stadium Darul Aman, petang tadi. - Foto: AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

PERSIAPAN yang rapi dan pemilihan pemain yang diyakini tepat oleh Kedah diharap mampu mengalas harapan penyokong mereka untuk bangkit sebagai pasukan yang gah, hebat serta berjaya menjulang kejuaraan khususnya muncul juara Liga Super pada musim 2019.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Lang Merah sudahpun mempersiapkan sebuah pasukan yang padu malah berjaya menunjukkan corak permainan yang memberangsangkan pada aksi pra musim ini.

Menurutnya, beliau mahu setiap pemain berusaha dengan gigih bagi memastikan setiap kemenangan berpihak kepada Kedah kerana setiap mata yang dikutip sangat berharga.

"Saya ingin berpesan kepada pemain agar menunjukkan komitmen serta sikap profesional yang tinggi sepanjang berada di dalam pasukan ini. Pemain harus mempunyai disiplin baik, bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar permainan.

"Beberapa permasalahan, baik dalam pengurusan KFA mahupun pasukan dan penyokong telah ditangani dengan baik. Kini, kita bergerak sebagai pasukan yang harmoni, berwibawa, berintegriti, yang saling hormat-menghormati , saling mendokong, dan menyokong aspirasi untuk membina pasukan Kedah yang profesional, mantap dan berjaya," katanya semasa melancarkan pelancaran jersi dan memperkenalkan penaja KFA musim 2019 di Stadium Darul Aman, petang tadi.

Mukhriz berkata, KFA juga menghargai peranan penyokong setia mereka yang sering berada di belakang baik sewaktu di puncak mahupun berada di bawah.

Jelasnya, beliau berharap penyokong Lang Merah akan terus menyokong pasukan dengan memenuhi Stadium Darul Aman setiap kali pasukan beraksi di laman sendiri.

"Bagi menghargai sokongan padu dan setia para peminat dan penyokong, sukacita saya mengumumkan bahawa tiada seorang pun pemain Kedah akan memakai jersi bernombor 12 kerana nombor itu dikhaskan kepada penyokong setia Lang Merah,"katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada program tersebut, presiden KFA itu turut memperkenalkan barisan penaja Kedah pada musim 2019 iaitu Lotto yang menaja 'kits' dan peralatan sukan, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan Menteri Besar Kedah Incorporated (MBInc).

Hadir sama Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris.