ATM sahkan 3 kes Covid-19 di hospital Kem Terendak

Tiga kes penularan tempatan Covid-19 dikesan di HAT, Kem Terendak di Melaka semalam.
Tiga kes penularan tempatan Covid-19 dikesan di HAT, Kem Terendak di Melaka semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan terdapat tiga kes penularan tempatan Covid-19 dikesan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Kem Terendak, Melaka semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Markas ATM Bahagian Hal Ehwal J-7 hari ini, tiga kes yang dikesan di HAT Kem Terendak melibatkan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada 24 Ogos lalu terdiri dua pesakit awam dan seorang anggota tentera.

“Pesakit awam berkenaan dikesan sewaktu saringan pra pembedahan dan anggota tentera tersebut dikesan setelah mendapatkan rawatan kerana bergejala.

“Kesemua mereka dihantar ke Hospital Melaka bagi tujuan isolasi dan siasatan lanjut,” kata kenyataan itu.

Ketika ini HAT Kem Terendak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri mengambil tindakan sewajarnya dengan melaksanakan kawalan pantas melalui pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Jangkitan Peringkat Hospital bagi siasatan dan pengesanan kontak rapat.

“Siasatan turut melibatkan petugas hospital, kerja-kerja dekontaminasi di kawasan disyaki tercemar, ujian swab serta isolasi.

“Sehingga kini ujian swab ke atas 138 orang disyaki kontak rapat telah dilaksanakan dan sedang menunggu keputusan.

“Usaha ini dilakukan bagi menjamin keselamatan semua petugas hospital, pesakit dan kelangsungan perkhidmatan hospital itu sendiri,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, pemantauan rapi dan penilaian berterusan dilaksanakan oleh Bahagian Perkhidmatan (BPK), ATM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mewujudkan kebimbangan kepada masyarakat setempat.