Penguat kuasa MPS guna kamera badan elak provokasi

Shamsul Shahril Badliza (kanan) memasang kamera badan kepada salah seorang anggota selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MPS, hari ini.
Shamsul Shahril Badliza (kanan) memasang kamera badan kepada salah seorang anggota selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MPS, hari ini.
A
A
A

SELAYANG - Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menggunakan kamera badan yang lebih berkualiti ketika menjalankan tugas dan operasi bagi tujuan mempertahankan diri daripada tohmahan dan provokasi selain menjadi mangsa serangan netizen apabila rakaman video tular di media sosial.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memperuntukkan lebih RM11, 000 untuk pembelian 15 unit kamera badan yang akan digunakan di bawah 10 zon penguatkuasaan membabitkan unit khas, tunda, zon Gombak, Rawang, Selayang dan Kepong serta unit malam serta hasil.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, pemasangan kamera itu bermula awal Julai lalu supaya boleh menjadi rujukan dan bahan bukti jika berlaku kejadian tidak diingini.

Menurutnya, ia juga dapat meningkatkan kecekapan, integriti dan ketelusan ketika berurusan dengan masyarakat.

"Kamera badan itu bukan untuk mencari kesalahan sesiapa sebaliknya untuk rujukan dan kegunaan melengkapkan pelaporan.

"Ini juga bagi memberi keadilan kepada orang awam dan juga penguat kuasa sekiranya berlaku tohmahan dan provokasi melampau ketika menjalankan tugas," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPS di Bilik Siantan MPS hari ini.

Beliau memberitahu, sistem kamera badan telah lama diguna pakai di MPS tetapi ditambah kerana kamera baharu itu mampu merakam video dengan lebih jelas dengan durasi yang lebih lama.

Artikel Berkaitan: