City serius buru Messi

Silva (kanan) dan Jesus antara pemain yang akan dilepaskan City sebagai pertukaran untuk mendapatkan Messi.
Silva (kanan) dan Jesus antara pemain yang akan dilepaskan City sebagai pertukaran untuk mendapatkan Messi.
A
A
A

PASUKAN gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dilaporkan serius mahu mendapatkan khidmat bintang Barcelona, Lionel Messi.

Memetik laporan portal berita antarabangsa, City menawarkan €100 juta (RM495 juta) dan tiga pemain utama kelab itu sebagai pertukaran.

"Nilai klausa €700 juta yang diletakkan pada Messi tidak akan mampu dibayar City. Sebab itu City akan tawarkan wang dan tiga pemain iaitu Eric Garcia, Bernardo Silva dan Gabriel Jesus.

"Garcia baru berumur 19 tahun dan cuma tampil 13 kali musim ini di EPL dan dikatakan enggan menyambung kontrak dengan City. Silva pula antara watak penting buat City dan telah menjaringkan lapan gol serta 10 asist daripada 52 perlawanan musim lalu. Namun, untuk posisi Silva itu, City telah mempunyai Kevin De Bruyne, Riyad Mahrez dan Phil Foden.

"Jesus pula sedang berada pada musim keempatnya bersama City, namun masih belum mampu mencabar seniornya, Sergio Aguero. Sebab itu, City bersedia melepaskan ketiga-tiga pemain itu untuk membawa masuk Messi.

"Garcia, Silva dan Jesus juga memiliki nilai jual yang tinggi seandainya dibeli secara berasingan, malah usia mereka juga masih muda. Tawaran yang dikemukakan The Citizen ini semestinya tidak mampu ditolak oleh Barcelona," kata laporan itu.

Terdahulu, Messi menyatakan mahu meninggalkan kelab itu dan mengaktifkan klausa perpindahan percuma seperti yang termaktub dalam kontraknya itu.

Namun, kelab Catalan itu menyifatkan klausa yang cuba digunakan Messi itu sudah tidak sah kerana perlu diaktifkan sebelum 10 Jun lalu walaupun ramai beranggapan ia perlu disesuaikan dengan keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Artikel Berkaitan:

Kes itu membuatkan penyokong Barcelona berang dan mendesak Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu mengundurkan diri daripada kerusinya kerana gagal menangani permasalahan melibatkan pemain bintang kelab tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Messi kena hormat kontrak

Barcelona perlu hormati permintaan Messi